Ahad, 16 Ogos 2009

Selsema babi / H1N1 / influenza A

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia yang amat dicintai Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat Nabi Muhammad SAW, para wali Allah, para ulama, para umara, semua muslimin dan muslimat.

Serangan virus influenza A yang dikenali sebagai selsema babi atau nama saintifiknya H1N1 telah menghantui masyarakat di Malaysia malah di seluruh dunia.

Dicatatkan di dalam Utusan Malaysia bertarikh 15 Ogos 2009, World Health Organization (WHO) telah meramalkan bahawa dalam jangka masa 6 bulan hingga setahun, lebih kurang 20 peratus atau 5 juta orang daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia bakal mendapat jangkitan yang membawa maut itu.

Kematian demi kematian yang berlaku akibat virus selsema babi amat merunsingkan kerana jumlahnya semakin meningkat dari semasa ke semasa. Peningkatan jumlah kematian akibat virus selsema babi menyebabkan timbul rasa panik di kalangan masyarakat. Mana tidaknya, hampir kebanyakan farmasi dan kedai serbaneka mendapat untung dengan menjual topeng muka pada harga berlipat kali ganda kerana ramai orang yang menginginkannya.

Walaupun begitu, masih ramai juga ahli masyarakat yang kurang peka berkenaan virus selsema babi ini. Mungkin kerana tiada usaha yang tegas dan berterusan daripada pihak berwajib dalam menangani masalah tersebut dan juga kurangnya kesedaran akan bahayanya wabak selsema babi itu di kalangan masyarakat negara ini.

Pelbagai cara mungkin boleh dilakukan oleh masyarakat Malaysia bagi mencegah dan merawat selsema babi ini.

Cara-cara yang mungkin membantu secara lahiriah dengan izin Allah:
1- Kerapkan membasuh tangan dengan air dan sabun terutama selepas bersin, batuk, dan selesai sesuatu kerja.
2- Memakai topeng muka terutama ketika berada di tempat awam dan tempat orang ramai berkumpul.
3- Mengurangkan aktiviti-aktiviti luaran seperti berkumpul di khalayak ramai
4- Meminum air kelapa (terbukti secara sains moden dapat meneutralkan asid badan akibat selsema dan demam).
5- Mengurangkan pengambilan minuman berais.
6- Banyakkan penagmbilan minuman ringan yang suam atau panas.
7- Banyakkan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan.
8- Gunakan tisu atau sapu tangan ketika bersin dan batuk.
9- Elakkan berhubung secara terus dengan orang yang mengalami simtom selsema dan demam.
10- Melakukan senaman ringan yang bersesuaian.
11- Memakan madu lebah (untuk sistem pernafasan dan tenaga badan).
12- Cukupkan tidur dan rehat.

Cara-cara berpandukan ajaran Islam yang dapat membantu dengan izin Allah:
1- Kerapkan mengambil wudhu.
2- Kerapkan solat sunat (sunat taubat, sunat tahajud, sunat hajat).
3- Kerapkan membaca al-Quran dan selawat ke atas Rasullullah SAW.
4- Mulakan setiap kerja dan amalan dengan doa (sekurang-kurangnya dengan Bismillah).
5- Akhirkan setiap kerja dan amalan dengan doa (sekurang-kurangnya dengan Alhamdullillah).
6- Bersederhana dalam setiap perkara (makan, minum, tidur, rehat, kerja, berbelanja).
7- Sentiasa memohon keampunan Allah dengan Istighfar.
8- Sentiasa rasakan kehadiran Allah kerana Allah jualah yang memimpin dan menaungi kehidupan kita.
9- Jauhilah larangan yang telah ditetapkan oleh Allah.
10- Amalan-amalan wajib yang telah digariskan oleh syarak dilakukan secara istiqamah.
11- Menjaga hati (hati nurani yang kotor akan menyebabkan fizikal jadi kotor).
12- Amalkan doa tawassul mencegah wabak seperti yang diamalkan oleh auliya dan ulama terdahulu (rujukan kepada al-Qadhi as-Sheikh Yusuf Bin Ismail an-Nabhaani di dalam kitabnya Sa`aadatud Daarain):

"Kujadikan lima orang sebagai wasilah kepada Yang Maha Kuasa, Untuk kupadamkan dengan keberkatan mereka, Akan kepanasan wabak dan kebinasaannya, Junjungan Nabi al-Musthafa, Baginda ‘Ali al-Murthada, Dua anak mereka, Imam Hasan dan Imam Husain saudaranya, Dan bonda mereka Siti Faathimah juga."

Sama-sama kita berdoa kepada Allah agar wabak selsema babi ini ditiadakan olehNya.

Moga kita sentiasa berusaha memastikan kesihatan fizikal, mental dan spiritual sentiasa terjaga.

Sekian.

Assalamualaikum.


Tiada ulasan: