Khamis, 7 Mei 2009

Jamuan Makanan dalam Acara Tahlilan

Dalam setiap acara tahlilan, tuan rumah memberikan makanan kepada orang-orang yang mengikuti tahlilan. Selain sebagai sedekah yang pahalanya diberikan kepada orang yang telah meninggal dunia, motivasi tuan rumah adalah sebagai penghormatan kepada para tamu yang turut mendoakan keluarga yang meninggal dunia.


Dilihat dari sisi sedekah, bahwa dalam bentuk apapun sedekah merupakan sesuatu yang sangat dianjurkan. Memberikan makanan kepada orang lain dalah perbuatan yang sangat terpuji. Sabda Nabi Muhammad SAW:

عَنْ عَمْرِو بْنِ عَبَسَةَ قَالَ أَتَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ مَا الإسْلَامُ قَالَ طِيْبُ الْكَلَامِ وَإطْعَامُ الطَّعَامِ. رواه أحمد

Dari Amr bin Abasah, ia berkata, saya mendatangi Rasulullah SAW kemudian saya bertanya, “Wahai Rasul, apakah Islam itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Bertutur kata yang baik dan menyuguhkan makanan.” (HR Ahmad)

Kaitannya dengan sedekah untuk mayit, pada masa Rasulullah SAW, jangankan makanan, kebun pun (harta yang sangat berharga) disedekahkan dan pahalanya diberikan kepada si mayit. Dalam sebuah hadits shahih disebutkan:

عَنْ بْنِ عَبَّاسٍ أنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّ أمِّي تُوُفِّيَتْ أَفَيَنْفَعُهَا إنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ قَالَ فَإنَّ لِيْ مَخْزَفًا فَُأشْهِدُكَ أَنِّي قَدْ تَصَدَّقْتُ بَهَ عَنْهَا. رواه الترمذي

Dari Ibnu Abbas, sesungguhnya ada seorang laki-laki bertanya, "Wahai Rasulullah SAW, Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, apakah ada manfaatnya jika aku bersedekah untuknya?" Rasulullah menjawab, "Ya”. Laki-laki itu berkata, “Aku memiliki sebidang kebun, maka aku mempersaksikan kepadamu bahwa aku akan menyedekahkan kebun tersebut atas nama ibuku.” (HR Tirimidzi)

Ibnu Qayyim al-Jawziyah dengan tegas mengatakan bahwa sebaik-baik amal yang dihadiahkan kepada mayit adalah memerdekakan budak, sedekah, istigfar, doa dan haji. Adapun pahala membaca Al-Qur'an secara sukarela dan pahalanya diberikan kepada mayit, juga akan sampai kepada mayit tersebut sebagaimana pahala puasa dan haji. (Ibnul Qayyim, ar-Ruh, hal 142).


Jika kemudian perbuatan tersebut dikaitkan dengan usaha untuk memberikan penghormatan kepada para tamu, maka itu merupakan perbuatan yang dianjurkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW:


عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم مَنْ كَانَ يُؤمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ مَنْ كَانَ يُؤمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَالْيُكْرِمْ جَارَهُ وَ مَنْ كَانَ يُؤمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أوْ لِيَصْمُتْ. رواه مسلم


Dari Abi Hurairah, ia berkata, Rasulullah bersabda, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhir, maka janganlah menyakiti tetangganya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhir, maka hormatilah tamunya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhir, hendaklah ia berkata dengan kebaikan atau (jika tidak bisa), diam.” (HR Muslim).

Seorang tamu yang keperluannya hanya urusan bisnis atau sekedar ngobrol dan main catur harus diterima dan dijamu dengan baik, apalagi tamu yang datang untuk mendoakan keluarga kita di akhirat, sudah seharusnya lebih dihormati dan diperhatikan.


Hanya saja, kemampuan ekonomi tetap harus tetap menjadi pertimbangan utama. Tidak boleh memaksakan diri untuk memberikan jamuan dalam acara tahlilan, apalagi sampai berhutang ke sana ke mari atau sampai mengambil harta anak yatim dan ahli waris yang lain. Hal tersebut jelas tidak dibenarkan. Dalam kondisi seperti ini, sebaiknya perjamuan itu diadakan ala kadarnya.


Lain halnya jika memiliki kemampuan ekonomi yang sangat memungkinkan. Selama tidak israf (berlebih-lebihan dan menghamburkan harta) atau sekedar menjaga gengsi, suguhan istimewa yang dihidangkan, dapat diperkenankan sebagai suatu bentuk penghormatan serta kecintaan kepada keluarga yang telah meninggal dunia.


Dan yang tak kalah pentingnya masyarakat yang melakukan tahlilan hendaknya menata niat di dalam hati bahwa apa yang dilakukan itu semata-mata karena Allah SWT. Dan jika ada bagian dari upacara tahlil itu yang menyimpang dari ketentuan syara' maka tugas para ulama untuk meluruskannya dengan penuh bijaksana.


Hasil tulisan dikreditkan kepada bahrus shofa (bahrus shofa.blogspot.com)

Islam Hadhari Lahir Dari Pemimpin Jahil

Islam Hadhari Lahir Dari Pemimpin Jahil
Ditulis oleh Buletin Online
Wednesday, 22 October 2008

Oktober 2008, Kuala Terengganu - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi berkata tindakan mengubah Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran kepada Islam Hadhari adalah tindakan yang lahir dari pemimpin yang jahil.

”Serupa (sebagaimana) umat Islam hari ini pimpinan kebanyakkan tidak terdiri dari bukan ulamak, hatta Islam sendiri itu dia ubah (kepada) Islam Hadhari, sedangkan Islam itu Allah bawa turun dalam al-Quran", Allah kata “Aku redha Islam sebagai ugama”.


“Tiba-tiba dia ubah (menjadi) Islam Hadhari, kerana apa? Kerana dia jahil,” kata beliau yang ditemui selepas Konvensyen Kebajikan PAS Negeri Terengganu, di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Ibai kelmarin.

Menurutnya pemerintahan kerajaan Islam dahulu menjadi maju kerana umat Islam ketika itu dipimpin oleh ulamak, namun kini umat Islam menjadi lemah kerana dipimpin oleh orang jahil, umat Islam menjadi lemah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kepimpinan ulamak sudah tidak relevan lagi buat zaman ini.

Beliau mengambil contoh negara Iran yang menjadi sebuah negara Islam yang maju sekarang ini kerana dipimpin oleh ulamak.

”Iran sekarang ini boleh naik (maju) kerana kepimpinan dia ulamak ataupun sekurang-kurangnya dia pimpinan di bawah arahan ulamak", katanya.

“Ulamak yang mentaujihkan, ulamak yang mengarahkan, ulamak yang menentukan dasar,”k atanya yang merujuk Presiden Ahmadinejad sebagai pentabir negara, dibimbing di bawah majlis ulamak.

Justeru menurutnya, Malaysia perlu mengambil contoh tersebut dan mengambil kepimpinan ulamak sebagai pimpinan yang paling atas, dengan sokongan golongan profesional lain.

“Profesional kita tak boleh tolak, nak buat bangunan kena profesional, nak buat (bangunkan) ekonomi kena profesional,” katanya.


”Katalah nak buat bank, orang profesional nak buat bank (Islam) dia tak tahu, yang mana (satu) riba, yang mana tak riba, ulama’ yang akan menentukan,” jelasnya.

Hasil tulisan dikreditkan kepada Dewan Ulama PAS Pusat (ulama.pas.org.my)

Jumaat, 1 Mei 2009

Maulidurrasul ‘tidak ada apa-apa kaitan dengan kita’?

Beberapa orang sahabat mengesyorkan agar saya menonton video khutbah Tuan Guru Nik Aziz yang menyentuh tentang Maulidurrasul, dan sanggahan kepada khutbah tersebut oleh Syeikh Nuruddin al-Banjari. Hendak memakukan mata dan memasang telinga untuk menonton video-video itu ketika tidak sihat begini agak sukar. Dikhuatiri ada isi-isi penting yang saya terlepas pandang. Alhamdulillah syukur, sempat juga saya menontonnya semalam sekali lalu.


Setelah meneliti isi kandungan kedua-dua khutbah, secara peribadi saya memandang hujah-hujah Syeikh Nuruddin secara keseluruhannya adalah lebih kuat.


POKOK PERSELISIHAN


Tuan Guru berpendapat sambutan Maulidurrasul tidak ada apa-apa hubungan dengan kita. Antara hujahnya, Nabi Muhammad hanya ada hubungan dengan manusia lain hanya setelah berusia 40 tahun, iaitu selepas turunnya wahyu.


Bagi Tuan Syeikh pula, hubungan Rasulullah dengan manusia lain dan agama Islam bermula lebih awal daripada itu, malah sejak kelahirannya.


Berdasarkan formula di atas, jika Tuan Guru mengajar sirah, maka pelajaran sirahnya akan bermula pada hari Nabi menerima wahyu. Itulah yang sepatutnya berlaku jika dia berpegang dengan kata-katanya.


Jika Tuan Syeikh mengajar sirah pula, beliau akan memulakan pelajarannya sejak Nabi belum menerima wahyu lagi.


Jadi, kepada sesiapa yang pernah menghadiri kuliah sirah Tuan Guru, anda boleh menilai sendirilah.


KATA SAYA YANG DHAIF


Sirah bermula sebelum Nabi menerima wahyu. Sekiranya baginda tidak menunjukkan nilai-nilai murninya selama berpuluh tahun sehingga digelar ‘al-Amin’, kemungkinan besar semasa permulaan dakwahnya tiada siapapun yang mahu memeluk agama Islam.


Bayangkan, seorang biasa yang tidak punya kelebihan apa-apa tiba-tiba mengaku jadi wakil Tuhan di bumi, siapa hendak percaya? Memang boleh dapat penyokong tetapi masanya sangat panjang dan pengikutnya tidak seramai mana.


Tetapi, selama 39 tahun baginda membina hubungan dengan masyarakat sekeliling hingga menjadi orang yang terpercaya, dengan pantas hati-hati manusia tertawan. Bagaimana orang-orang yang waras hendak menolak kerana dia ‘Al-Amin’! Dalam keadaan baginda ‘Al-Amin’ pun majoriti Quraisy menentangnya, apatah lagi jika dia bukan ‘Al-Amin’!


Kalau selepas menerima wahyu baru dia hendak membina gelaran ‘Al-Amin’…….


UJIAN BUAT PEJUANG


Bayangkan anda di tempat Syeikh Nuruddin. Anda menyedari ada yang tidak kena dengan isi khutbah Tuan Guru. Apa tindakan anda?


Jika anda mendiamkan diri sahaja, anda tidak ubah seperti kebanyakan kaum Salafi Wahabi. Oleh kerana yang berkata itu Dr. Asri, walau sebesar mana salahnya akan ditakwil supaya nampak tidak salah. Oleh kerana yang berkata itu Dr. Azwira, walau sebanyak mana penipuannya maka anda akan mengatakan, “Alah, isu kecil aje ni. Tak payah nak panjang-panjang. Banyak lagi kerja agama boleh kita buat.” Oleh kerana yang berkata itu Syeikh Albani, anda tidak mahu ulas kesalahannya lalu berkata, “Ini hal para ulama. Kita orang boasa tak payah ambil tahu.”


Oleh kerana yang berkata itu Tuan Guru Nik Aziz, maka Syeikh Nuruddin pun kenalah diamkan saja kelemahan ataupun kesalahan yang disebarkannya. Begitukah?


Jika anda menilai semula isi khutbah tersebut dan menyebarkan pembetulan tentangnya, ketika itu anda akan dicop sebagai tidak hormat Tuan Guru, sengaja hendak cari masalah, hendak tunjuk pandai, cuba menyebarkan ajaran dari seberang dan sebagainya, walaupun anda memperkatakan perkara yang hak.


Pusing-pusing, diam pada kesalahan pun anda dikutuk, bersuara atas kebenaran pun anda dikutuk. Anda pilih yang mana?


SAMBUT HARI WAHYU


Kata Tuan Guru, hendak sambut hari lahir Nabi boleh (bukanlah bidaah ke neraka maksudnya) tapi lebih baik sambut hari dapat wahyu kerana ketika itulah bermulanya hubungan Nabi Muhammad dengan kita semua. Cadangan ini sudah lama saya dengar dalam kaset-kaset ceramah Tuan Guru. Cadangan yang baik juga.


Cuma nanti jangan pula ada yang hendak menyambut hari kewafatan Rasulullah dengan alasan bergembira atas sempurnanya agama Islam sudahlah. : )


KOREK TELINGA


Pernah seorang ilmuan agama (Mufti Saudi ke sape ntah, lupa dah) memfatwakan tidak batal puasa jika mengorek telinga. Dato’ Nik Aziz menyokong fatwa ini. Antara alasannya adalah kerana lubang telinga tidak berhubungan dengan perut. Saya guna fatwa ini walaupun banyak teman-teman tidak bersetuju. : ) Lagipun sebenarnya, telinga saya ada masalah sikit. : )


PENDEK KATA


Saya tidak bersetuju jika dikatakan Maulidurrasul ‘tidak ada apa-apa kaitan dengan kita’


Hasil tulisan dikreditkan kepada (syeikhnuruddin.blogspot.com)

Sheikh Abdullah Fahim: Ketua Dewan Ulamak PAS Pertama

Kepulangan Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulamak dan guru di Masjidil Haram ke Tanah Melayu pada 1922 telah mencetuskan pemikiran baru tentang perjuangan kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini.


Sheikh Abdullah Fahim atau nama sebenarnya Abdullah bin Ibrahim adalah ulamak berdarah campuran Arab-Pattani yang berasal dari Makkah. Beliau dilahirkan di Kota Suci pada 1869 di mana ayahnya, Sheikh Ibrahim bin Tahir adalah guru di Masjidil Haram semenjak berhijrah dari Pattani ke Kedah, kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Makkah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam pada 1830-an.


Dengan keistimewaan beliau sebagai anak seorang ulamak di Makkah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk mendalami pelbagai ilmu agama di sana. Sepanjang pengajiannya, Haji Abdullah telah berjaya menguasai ilmu-ilmu agama seperti usuluddin, fiqh, tasawuf dan tarekat, tafsir al-Quran, hadis, falak serta ilmu alat seperti arudh dan qawafi dalam rumpun sastera Arab.


Beliau dikata berguru dengan lebih 50 orang ulamak dan mendapat 42 ijazah dalam pelbagai bidang pengajian termasuk politik. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921.


Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanah air dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun.


Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai “Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah”. Perkataan “al-Wathaniyah” atau Bumiputera itu jelas memperlihatkan semangat kemerdekaannya.


Tuan Guru Haji Abdullah Fahim bukan sahaja mengasas dan mengajar di sini, tetapi turut menjadi mudir sehingga 1930. Antara murid beliau yang paling terkenal ketika ini ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin. Di sini, Haji Abdullah telah memperkenal pengajian berkelas (nizami) dan juga umum (adami).


Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Antara pelajar beliau di sini termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Prof Zulkifli Mohammed.


Setelah meninggalkan Bukit Chandan, Haji Abdullah kembali ke Kepala Batas dan menguruskan Madrasah Daeratul Maarif. Walau bagaimanapun, beliau hanya berkhidmat sebagai penaung, manakala anaknya, Tuan Haji Ahmad Badawi sebagai mudir dan murid kesayangannya, Ustaz Abdul Halim al-Hadi sebagai guru besar. Beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai Sheikhul Islam Kedah kerana menjaga maslahat madrasah ini. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana.


Selepas Perang Dunia Kedua tercetus, Sheikh Abdullah Fahim telah mula terlibat dalam politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai. Ketika Umno ditubuhkan pada 1946, beliau adalah ahli Umno pertama dari Pulau Pinang. Beberapa ketika kemudian, kerana kemasyhuran beliau sebagai seorang ulama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Meskipun menjadi ahli Umno, kemahuan beliau untuk melihat kemerdekaan tidak padam walaupun Umno ketika itu tidak memperjuangkan kemerdekaan.


Ketika murid beliau, Ustaz Abu Bakar al-Bakir menubuhkan Hizbul Muslimin, beliau bukan sahaja memberikan sokongan tetapi telah dilantik mempengerusikan Majlis Penasihat Hizbul Muslimin pada 1948 dan dalam masa yang sama mengetuai Bahagian Agama Umno. Ekoran beberapa krisis dalaman Umno berkaitan sikap Umno terhadap isu-isu agama seperti isu judi loteri, fun-fair, kaberet, isu pemurtadan Natrah dan lain-lain, Haji Abdullah telah berundur sebagai Pengerusi Bahagian Agama pada 1950. Selepas itu, jawatan ini diambil alih oleh muridnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan.


Walaupun Haji Abdullah tidak menyertai dua Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 1950 dan 1951, tetapi beliau menghantar anaknya, Haji Ahmad Badawi untuk menyertainya. Apabila Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, persatuan tersebut telah merancang mengadakan Persidangan Ulamak di Butterworth pada 24 November 1951 untuk meluluskan undang-undang tubuh dan melantik jawatankuasanya. Haji Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang telah merasmikan persidangan ini yang akhirnya telah mengambil keputusan menukar nama Persatuan Ulama Se-Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Abdullah Fahim sendiri dicalon sebagai Yang Dipertua Agung PAS tetapi tewas kepada Tuan Haji Ahmad Fuad.


Sebaik sahaja PAS ditubuhkan, Madrasah Daeratul Maarif telah dipilih sebagai Pejabat Agung PAS yang pertama sebelum berpintah ke Bukit Mertajam. Selepas itu ia kembali ke madrasah ini pada 1953 sebelum menumpang beberapa ketika di rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki iaitu berhampir madrasah ini juga.


Kerana penyertaan Haji Abdullah dalam PAS, hampir seluruh murid dan keluarganya menjadi tenaga penting PAS. Turut menyertai PAS di kalangan jawatankuasa madrasah ini ialah Cikgu Ahmad Awang, Ustaz Abdul Halim al-Hadi, Ustaz Abdul Kadir Kamal dan Ustaz Mohd Saghir. Di kalangan keluarganya pula ialah anaknya, Haji Ahmad Badawi; menantunya, Hajah Kailan Hassan; iparnya, Haji Mansor Hassan JP dan beberapa yang lain.


Pada 3 April 1952, Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulama PAS bagi menyatukan tenaga ulama dan mengelola urusan hukum-hukum agama, maka Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama. Antara langkah penting dilaksanakan oleh beliau ialah mengadakan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat pada 22 Mei 1952 bagi merundingkan usaha untuk menyatukan sekolah agama dan membentuk kumpulan wang untuk membangunkan sistem pendidikan tersebut. Beliau juga telah membuka Pejabat Dewan Ulama PAS di Madrasah Khairiyah, Pokok Sena iaitu sekolah milik Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein.


Pada akhir 1953, telah berlaku krisis kepemimpinan PAS ekoran sokongan PAS terhadap National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman. PAS mula membentuk disiplin parti dengan mencegah pimpinan PAS menjadi ahli parti lain. Pada Ogos 1954, bertempat di Madrasah ad-Diiniyah, Bagan Serai, PAS meluluskan usul tersebut. Akibatnya, beberapa pimpinan PAS seperti Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Maansor JP, Tuan Guru Haji Huseein Che Dol, Haji Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Badawi terpaksa memilih untuk kekal dalam PAS atau menjadi ahli Umno. Haji Hussein Che Dol, Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki memilih untuk meninggalkan PAS dan kekal bersama Umno. Pendirian ini turut diambil oleh Sheikh Abdullah Fahim.


Walaupun tidak lagi bersama PAS selepas 1954, Haji Abdullah Fahim selaku Mufti bersama Ustaz Abdul Halim al-Hadi (Guru Besar Maarif Wathaniyah) dan Sheikh Salleh Masri (Pengerusi Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang) telah mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam keluar mengundi dan melarang mereka mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya 1955. Isu ini menjadi hangat kerana ia dilihat merugikan Perikatan dan Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang pula menyokong fatwa ini. Pada 31 Mei 1955, pendaftaran PAS telah diluluskan dengan beralamat di “Arabic School, Kepala Batas” iaitu madrasah milik Haji Abdullah Fahim.


Sumbangan penting Haji Abdullah dalam politik negara ialah menetapkan tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Berdasar keilmuan beliau dalam bidang falak, beliau mengatakan itu tarikh terbaik untuk Tanah Melayu merdeka. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia pada 27 April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Hasil tulisan dikreditkan kepada Mohd Fadli Ghani, Jabatan Arkib PAS (ulamak.pas.org.my)