Selasa, 21 September 2010

Bersahabat

Assalamualaikum.


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW, ahlul bait, para sahabat, para wali Allah, para ulama, para umara, sekian muslimin dan muslimat.

Kata Imam Jaafar as-Siddiq r.a.:
"Barang siapa menggali lubang untuk mencelakakan saudaranya, maka dia sendiri yang akan terjerumus ke dalamnya. Barang siapa memasuki tempat-tempat yang biasa dikunjungi orang-orang bodoh, maka dia akan direndahkan. Barang siapa bergaul dengan ulama, dia akan dimuliakan. Dan barang siapa memasuki tempat-tempat kemaksiatan, maka dia akan dituduh berbuat maksiat".

Berkawan biar seribu. Itulah pepatah nenek moyang kita. Mencari kawan biarlah seramai mungkin. Tetapi kawan yang bagaimanakah yang mesti dicari? Sebaik-baik yang dicari biarlah yang dapat membimbing dan membawa kita kepada Allah. Kewujudan manusia berbilang bangsa dan kaum yang dicipta oleh Allah adalah untuk membolehkan setiap daripada kumpulan manusia itu untuk saling bertaaruf dan kenal antara satu sama lain sepertimana yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran al-karim.

Menjadi sahabat tidaklah boleh diambil mudah. Kita bersahabat untuk mengembangkan kemanusiaan dan mencari redha Allah di dunia dan akhirat. Kita tidak bersahabat untuk merosakkan antara satu sama lain. Kita tidak bersahabat untuk saling berbunuhan atau saling bercakaran antara satu sama lain. Kita bersahabat demi memberi contoh teladan dan menjadi pembimbing antara satu sama lain.

Lihatlah erti persahabatan yang wujud ketika zaman awal Islam. Selamilah kuatnya ikatan persaudaraan di antara umat Islam ketika zaman Rasulullah SAW dan zaman para sahabat. Kukuhnya nilai persaudaraan pada ketika itu didasari oleh persaudaraan Islam yang sejati. Mereka saling mengingatkan antara satu sama lain tentang kebenaran Islam. Mereka saling menasihati antara sama lain dalam segenap aspek kehidupan. Mereka saling mengambil berat antara sama lain. Jika ada yang tidak dapat hadir ke masjid, secepat kilat dicari untuk mendapatkan keadaannya. Jika ada yang tidak dapat hadir ke musyawarah dan tazkirah, secepat mungkin dicari untuk mengetahui apa yang berlaku.

Keadaan zaman sekarang sangatlah merugikan segenap umat Islam. Kita tidak memberi penekanan sebaik mungkin dalam persaudaraan Islam. Kita hampir gagal membentuk satu ummah yang bersatu. Kita hampir gagal menjadi contoh teladan dan menjadi pembimbing antara satu sama lain.

Moga Allah memberi pertolongan kepada setiap umat Islam demi persaudaraan Islam.

Moga Allah memberkati dan merahmati setiap umat Islam.

Moga Allah memberi pertolongan kepada setiap umat Islam demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sekian.




Isnin, 20 September 2010

Sekadar Berkongsi

Assalamualaikum.


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW, ahlul bait, para sahabat, para wali Allah, para ulama, para umara, sekian muslimin dan muslimat.

Agak begitu lama tak berblog. Banyak kekangan. Banyak noda dan cabaran. Banyak perhitungan dalam kehidupan seharian. Moga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk terus menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Penat bekerja seharian di pejabat. Penat menunaikan tanggungjawab sebagai pemakan gaji. Itulah amanah yang diberi oleh Allah. Kerja sebagai satu amanah; bukan perkara main-main. Amanah sebagai pemakan gaji itu masih ringan jika dibandingkan dengan amanah dalam aspek dan tugas lain.

Amanah sebagai hamba Allah. Dimudahkan cerita, ambil sahaja Rukun Islam. Mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat 5 waktu yang diwajibkan, menunaikan puasa sebulan dalam bulan ramadhan yang mulia, menunaikan zakat bagi orang yang dimestikan mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji bagi orang yang berkemampuan.

Dipendekkan cerita lagi, solat 5 waktu. Adakah kita telah betul-betul menjaga solat 5 waktu itu dengan baik? Bagi yang menjaganya dengan baik, Alhamdulillah. Bagi yang masih belum tetap dengan solat 5 waktu itu, moga Allah memberi hidayah dan memberi keampunan. Bayangkan, solat 5 waktu hanyalah sedikit dari amanah yang Allah beri untuk kita jaga. Belum lagi masuk bab bersuci, puasa, munakahat, dan lain-lain. Moga Allah menyelamatkan kita daripada lalai dalam menjaga amanah.

Setiap amanah yang dipertanggungjawabkan akan dihitung tika Hari Pembalasan. Jika baik penjagaannya, dapatlah pembalasan yang baik. Jika buruk penjagaannya, dapatlah pembalasan yang buruk.

Ingatlah setiap yang kita lakukan pembalasan. Paling mudah, pembalasannya sama ada syurga atau neraka. Seperti kata Allah di dalam al-Quran al-karim, "Disediakan dua jalan, jalan kebaikan untuk dilalui dan jalan keburukan untuk dijauhi". Terpulang kepada kita untuk memilih syurga atau neraka. Jika mahu syurga, tunaikanlah amanah sebaiknya. Yang pasti tiada manusia yang inginkan neraka.

Moga sedikit bicara ini dapatlah dikongsi bersama.

Segala yang baik daripada Allah, segala yang kurang baik daripada Allah tapi disandarkan ke atas diri ini.

Sekian.