Sabtu, 15 Mac 2008

Fisioterapi merupakan salah satu bidang kesihatan yang baru berkembang di Malaysia seiring dengan pembangunan dan penambahbaikan sektor kesihatan. Suatu ketika dulu, fisioterapi lebih dikenali sebagai jurupulih anggota badan. Istilah fisioterapi merujuk kepada terapi pemulihan anggota badan dari segi fungsi dan fisiologi untuk membolehkan sesorang itu kembali menjalankan aktiviti rutin seperti sediakala.

Fisioterapi adalah bidang tugas yang penting bagi melengkapkan struktur organisasi kesihatan. Tanpa kewujudan kerjaya ini, pengurusan dan pelaksanaan tugas dalam sesuatu organisasi kesihatan seperti hospital tidak akan cekap dan kurang berkesan. Jelas, dengan adanya jabatan fisioterapi sendiri di sesebuah hospital telah meningkatkan mutu rawatan terhadap para pesakit dan membentuk jalinan kerjasama yang saling memerlukan di antara pelbagai disiplin kerjaya kesihatan seperti doktor perubatan, pembantu kesihatan, farmasi, radiologi dan lain-lain.

Di negara ini, kerjaya fisioterapi lebih ditekankan dan tertumpu di hospital semata-mata dan hanya sebahagian yang keluar dari ‘kepompong’ hospital untuk berkhidmat dalam tugas lain seperti di pusat OKU dan badan-badan sukan.

Sebenarnya kerjaya fisioterapi tidak terhad dalam linkungan hospital sahaja tetapi prospek kerjayanya meluas. Seseorang fisioterapi itu boleh berkhidmat sama ada di hospital, pusat kebajikan OKU, pusat kebajikan warga emas, sekolah pendidikan khas, kompleks badan-badan sukan, kolej mahupun universiti, dan sebagainya.

Sejajar dengan tugas untuk memulihkan fungsi dan fisiologi anggota badan seterusnya mengembalikan pesakit kepada keadaan normal, setiap ahli fisioterapi akan melaksanakan tugas berdasarkan etika dan prinsip yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan sebagai panduan dan rujukan. Etika dan prinsip yang digariskan oleh pihak bertanggungjawab adalah satu usaha untuk menyelaraskan perkhidmatan yang diberikan oleh ahli fisioterapi supaya rawatan pemulihan lebih berkesan dan tidak lari daripada prosedur rawatan.

Biasanya di hospital, ahli fisioterapi akan memberikan rawatan kepada para pesakit secara umum. Rawatan akan dijalankan sama ada di jabatan fisioterapi sendiri atau pun di unit-unit wad. Berbagai jenis masalah dan kes kesihatan akan dirujuk kepada ahli fisioterapi untuk dipulihkan. Tetapi bukan semua masalah dan kes kesihatan dapat dirawat dan setiap yang telah menjalani rawatan pemulihan itu tidak semua yang akan kembali normal; ianya bergantung kepada tahap mana masalah dan kes kesihatan tersebut.

Manakala di pusat-pusat kebajikan seperti rumah warga emas dan pusat OKU, prospek tugas fisioterapi akan menjadi lebih khusus dan perancangan pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap. Walaupun begitu, ahli fisioterapi perlu berhadapan dengan pelbagai karenah dan cabaran dalam mengendalikan kelompok terbabit.

Jarang kedengaran peranan ahli fisioterapi dalam pembangunan dan peningkatan mutu sukan negara ini. Di negara maju contohnya Australia, ahli fisioterapi memainkan peranan penting bagi meningkatkan taraf persembahan para atlit. Sebab itu, prestasi para atlit mereka berada pada tahap yang terbaik pada setiap kali pertandingan sukan diadakan. Sesungguhnya, peranan ahli fisioterapi penting kepada persembahan para atlit sama ada sebelum, semasa, mahupun selepas sesuatu pertandingan sukan. Perkhidmatan yang dicurahkan ahli fisioterapi dapat meningkatkan keupayaan fizikal, mental, dan spiritual para atlit yang mana akan membuahkan hasil memuaskan di dalam apa-apa pertandingan sukan.

Oleh yang demikian, wajarlah prospek kerjaya fisioterapi diperluaskan dan dikembangkan secara lebih agresif oleh pihak Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan untuk meningkatkan taraf kesihatan masyarakat negara ini di samping menaikkan mutu persembahan para atlit.