Jumaat, 14 Ogos 2009

Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia yang amat dicintai Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat Nabi Muhammad SAW, para wali Allah, para ulama, para umara, semua muslimin dan muslimat.

Semalam komuniti dakwah Tanah Melayu telah kehilangan seorang yang amat berjasa dalam menyampaikan dakwah melalui seni nyanyian. Marilah kita sama-sama menghadiahkan allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim dengan ummul kitab, al-Fatihah.

Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim meninggal ketika sedang melakukan latihan untuk program Shahadah ke-5 terbitan RTM. Beliau pergi meninggalkan alam fana dalam keadaan yang tenang dan singkat tanpa perlu melalui kesakitan yang panjang. Begitu mudah detik beliau menghadap ilahi.

Bagaimana pula dengan kita yang masih leka dan alpa dengan dunia yang fana ini?

Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim telah melakukan sesuatu yang murni untuk umat Islam dan pelaksanaan dakwah di Malaysia mahupun di luar negara. Pasti itu merupakan satu ibadah yang amat baik kerana seni nyanyian yang menjadi kerjaya beliau telah banyak memberi kesedaran dan keinsafan kepada kebanyakan orang.

Beliau telah menumpukan hidupnya dengan aktiviti dakwah yang bermula secara rasmi semenjak 1991 apabila tertubuhnya kumpulan nasyid Nada Murni seterusnya kumpulan nasyid Rabbani pada tahun 1997. Lamanya kerjaya beliau di dalam seni nyanyian nasyid sehingga saya berserta rakan-rakan yang lain membesar dengan nasyidnya.

Segala jasa dan pengorbannya terhadap industri nasyid tanahair akan terus subur dan menjadi salah satu nadi dakwah secara lisan di Malaysia dan dunia.

Moga roh allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah dan bersama dengan orang yang beriman dan soleh.

Sekian.

Assalamualaikum.

Tiada ulasan: