Ahad, 9 Ogos 2009

Tuan Guru Haji Ghazali Bin Haji Arsyad

Kelahiran dan asal keturunan: Tuan Guru Haji Ghazali bin Haji Arsyad bin Muhammad Rasyid bin Syaikh Haji Mansur, dilahirkan di Kampung Pasir Panjang Laut, Setiawan pada jan 7 pagi, 13 Rabiulakhir 1319H bersamaan tahun 1901. Ibu beliau bernama Hajjah Puteri Madinah bin Haji Mat Saman (digelar sebagai Tok Janggut kerana berjanggut panjang dan beliau adalah keturunan dari Megat Terawis, seorang pahlawan Perak yang terbilang). Menurut Ustazah Hajjah Mahmudah binti Tuan Guru Haji Ghazali, Syaikh Haji Mansur berasal dari Yaman dan makam beliau ada di Kampung Sungai Nipah, Teluk Intan.




Pendidikan: Sejak lagi diasuh oleh kedua orang tuannya membaca al-Quran. Pada ketika berusia 7 tahun, dihantar belajar di sekolah Melayu Pasir Panjang. Setelah tamat darjah 5 (darjah tertinggi pada ketika itu), beliau memulakan pengajian pondok di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka, di bawah pimpinan seorang ulama besar Kedah iaitu Tuan Guru Tuan Hussin Kedah. (Nama penuh beliau, Hussin bin Muhammad Nasir bin Muhamad Thayyib bin Mas’ud, keturunan dari Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Tuan Hussin wafat pada 18 Dhulqaedah 1354/10 Februari 1936. Tuan Guru Tuan Hussin Kedah sering beralih pondok, dari pondok Titi Gajah [pondok diasas oleh datuknya] – Pondok Bohor – Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka – Selengkoh, Sungai Limau, Yan – Padang Lumat dan terakhir di Pokok Sena, Seberang Perai).


Setelah itu beliau memondok di pondok Tuan Guru Haji Salleh Masri di Tanah Liat, Bukit Mertajam, Seberang Perai selama 5 tahun. Sebagaimana tradisi menuntut ilmu ketika itu bahwa tidak sempuna keilmuan seseorang sekiranya tidak melanjutkan pelajaran ke Mekah, maka pada tahun 1922 beliau seterusnya belayar ke Mekah untuk menyambung pelajarannya disana. Beliau belajar di Madrasah Shaulatiyyah, sebuah pusat pengajian yang terkenal di Mekah pada masa itu. Selepas empat tahun, beliau lulus Syahadah Nihayah pada 1926. Walaubagaimanapun Tuan Guru Haji Ghazali tidak terus pulang, sebaliknya menyambung pengajian dalam halaqah ulama’ di sekitar Masjidilharam.


Selain itu beliau juga belajar daripada ulama-ulama yang mengajar disekitar Masjidilharam. Beliau menuntut ilmu di Mekah selama lebih dari 10 tahun kerana kata beliau: Ana mengaji di Mekah selama 11 kali musim haji.


Guru-guru beliau di Mekah: Setelah sekian lama bermukim di bawah lindungan Ka’bah, tersenarailah beberapa orang ulama yang menjadi guru beliau, yang antaranya;

  • Syaikh Hasan Masyath – dalam ilmu hadits (gambar sebelah)
  • Syaikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani (Pa’ Da Eil) – ilmu-ilmi alat, hadits ,falak, nahwu dan balaghah (gambar di bawah)
  • Syaikh ‘Ali Maliki – Fiqh Maliki dan balaghah
  • Syaikh Ahmad Khurasan (tinggal bersamanya selama 2 tahun di Thaif sekaligus menjadi khadim dan anak angkat gurunya) – nahwu, munadzarah, mustholah hadits, ushuluddin dan ushul fiqh)
  • Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman bin Haji ‘Abdullah, Merbok
  • Syeikh Harun Kambang Minangkabau – Falak/Miiqaat
  • Sayyid Hussin ‘Abdunnabi – Tasauf
  • Syaikh Ibrahim Zaidan – ilmu gerhana
  • Syaikh Mukhtar ‘Atarid Bogor


Gambar Hiasan - Pengajian Secara Halaqah


Setelah sekian lama menuntut ilmu, akhirnya tibalah masa beliau mengembangkan ilmunya dengan membuka pondok, iaitu pada tahun 1932 dengan nama Madrasah ad-Diniyah di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh iaitu di rumah mentuanya. Madrasah ini pada asalnya hanyalah sebuah bangsal kecil kenduri perkahwinannya dengan Puan Hajah Zabedah binti Haji Salleh, anak seorang hartawan tempatan. Lantaran sokongan moral dan material yang dihulurkan oleh abang iparnya, iaitu Haji Arsyad bin Haji Salleh terhadap penubuhan madrasah berkenaan telah mengilhamkan Tuan Guru Haji Ghazali menamakan ‘Madrasah Irsyadiah Diniyah’ ke atas institusi tersebut kerana mengambil sempena nama abang iparnya yang berjasa itu.


Setelah madrasah ini kian berkembang, maka pada tahun 1935 ia berpindah ke sebidang tanah wakaf di suatu tempat yang dipanggil Hujung Matang (kini dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh).


Sistem pengajian di Madrasah Irsyadiah mengikut pengajian sistem pondok. Para pelajar duduk secara halaqah, bersila mengelilingi guru yang mengajar. Pelajar pondok ini bukan sahaja dari sekitar negeri Perak, bahkan juga dari Kedah, Perlis, Kemboja, Selangor dan Sumatera.


Di Madrasah Irsyadiah, Tuan Guru Haji Ghazali mengajar ilmu-ilmu alat seperti nahu, shorof, mantiq, ushul fiqh dan fiqh. Menurut Hajjah Mahmudah binti Tuan Guru Haji Ghazali, bidang ilmu yang Tuan Guru Haji Ghazali amat gemari ilah nahu, shorof, fiqh, balagah dan tasauf.



Pada zaman kegemilangannya, pondok yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Ghazali mempunyai lebih kurang 300 orang pelajar yang datang dari pelbagai negeri.


Menurut Tuan Guru Haji Hasyim bin ‘Abdul ‘Aziz Kajang, (gambar sebelah) antara murid kanan Tuan Guru Haji Ghazali yang menjadi kepala tela’ah waktu itu ialah Ustaz ‘Abbas bin Haji Muhmmad Saman, Syaikh Mahmud bin Haji ‘Abdullah Janggut Merah, Kedah dan Megat Hussin.


Madrasah ini ditutup tatkala Tanah Melayu di datangi tentara Jepun iaitu pada 1942 ekoran meletusnya Perang Dunia Kedua, dimana keluarga beliau berpindah ke Sungai Manik, Teluk Intan. Pada 1946, madrasah ini dibuka semula dan menerima pelajar dari seluruh negara.


Perkembangan seterusnya, pada 1960, Haji Ghazali telah mengetuai jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar-pelajar untuk mencari dana bagi membina bangunan baru. Akhirnya pada 1970 madrasah ini berwajah baru dengan nama Sekolah Menegah Agama Irshadiyah Persendirian. Menurut menantu Tuan Guru Haji Ghazali. Ustaz Haji Muhammad Hasyim (tokoh Ma’al Hijrah Perak 1419H dan merupakan suami kepada Ustazah Mahmudah), Madrasah Irsyadiah ini telah mengalami perubahan dari sistem pondok kepada sistem persekolahan mulai tahun 1968. Dimana pelajaran akademik seperti Sains, Sejarah dan sebagainya diserapkan, tetapi masih mengekalkan sistem pondok pada pelajaran sebelah petang dan malam. Ketika ini pentadbiran pondok diserahkan oleh Tuan Guru Haji Ghazali kepada menantu beliau.


Seterusnya menjadi agama persendirian pada tahun 1970 dengan nama Sekolah Menengah Agama Irsyadiah Persendiriran. Perubahan ini termasuklah menawarkan dwi-pembelajaran iaitu bahagian ‘Arabiah yang diajar pada sesi pagi dan bahagian akademik di sebelah petang. Pendidikan ‘Arabiah diajar sehingga peringkat Sijil Tinggi Agama (Syahadah Tsanawi) dan diiktiraf oleh universiti-universiti Timur Tengah khususnya al-Azhar, Mesir. Manakala pendidikan akademik pula serupa dengan sistem sekolah menengah kerajaan yang menyediakan pendidikan menengah rendah hingga ke peringkat menengah atas yang diwujud berdasarkan daya usaha Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak.


Dan mulai tahun 1998, ia bertukar nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Isyadiyah, seleas diambil alih oleh Kementerian Pendidikan.


Murid-murid Tuan Guru Haji Ghazali: Saking hebat dan ‘alimnya Tuan Guru Haji Ghazali, maka tersenarailah beberapa orang murid beliau yang berjaya, berkat dari didikan dan tarbiyah beliau, antaranya:

  • Tuan Guru Haji ‘Ali Kemboja (mufti Kemboja)
  • Tuan Guru Haji ‘Abbas bin Haji Muhammad Saman (mudir Madrasah ‘Aziziah, Parit)
  • Dato’ Haji ‘Abdul Malek (mufti Perak)
  • Tuan Guru Haji Ghazali ‘Abdullah Senggora (Qadhi Besar Selangor/Perak)
  • Ustaz Haji ‘Abdul Halim (Qadhi Besar Perak)
  • Tuan Guru Haji ‘Abdul Shamad Noh (ahil Majlis Fatwa Perak/ Ketua Dewan Ulama PAS)
  • Drs Ahmad bin Tuan Guru Haji Ghazali (anak beliau)
  • Ustazah Mahmudah bin Tuan Guru Haji Ghazali (anak beliau)
  • Brig. Jen (B) Dato’ Haji ‘Abdul Hamid Zainal ‘Abidin
  • Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad
  • Ustaz Haji Ahmad Ghazali (pesara Qadhi Besar Perlis)
  • Tuan Guru Haji Muhammad Hasyim bin ‘Abdul ‘Aziz ar-Rawi, Kajang (Pondok Jenderam Hilir)
  • Tuan Guru Haji Hasyim Abu Bakar (Mudir Pondok Pasir Tumboh, Kelantan) - gambar diatas
  • Tuan Guru Syaikh Mahmud Janggut Merah, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kedah
  • Ustaz Ahmad Khayat (menantu)
  • Dr. Abdul Wahab Arbain
  • Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan sekarang)
  • Kiyai Haji Hasan Ma’sum (mufti Sumatera)

Menurut Tuan Guru Haji Ghazali, muridnya yang plaing ‘alim adalah anak beliau sendiri, sebagaimana kata beliau: "Antara murid ana yang paling ‘alim ialah anak ana sendiri, isteri Hasyim, [Ustazah] Mahmudah, tetapi apa boleh buat, perempuan, langkah tidak luas”.


Khidmat: Sebagai seorang ulama yang berpandangan luas, Tuan Guru Haji Ghazali sering menjadi rujukan lain-lain ulama yang ingin mendapat fatwa berkaitan sesuatu masalah. Bahkan Jabatan Agama Islam Perak turut mengiktiraf Tuan Guru Haji Ghazali sebagai pakar rujuk untuk persoalan agama. Umpamanya pada tahun 1976, Tuan Guru Haji Ghazali dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak. Namun sebelum itu, semasa pemerintahan Sultan Alang Iskandar, Sultan Perak ke-30 (baginda adalah seorang sultan yang sangat menghormati ulama) pernah melantik Tuan Guru Haji Ghazali menganggotai Ahli Mesyuarat Ulama Perak.


Kemasyarakatan: Dalam mengembangkan dakwah Islamiah, Tuan Guru Haji Ghazali membahagikan gerak-kerja pelaksanaan dakwah kepada dua jurusan. Pertama, dakwah khas yang dipanggil khassah dan yang kedua dakwah am yang dikenali sebagai ammah. Pun begitu bagi Tuan Guru Haji Ghazali, khassah lebih diyakininya berpotensi melahirkan masyarakat Islam moden berbanding ammah kerana ia menekankan pendidikan yang bertubi kali. Dalam hal ini, Tuan Guru Haji Ghazali berpegang kepada falsafah tersendiri dalam pelaksanaan dakwah. Kata beliau: Penuntut agama adalah umpama setandan buah kelapa, ada yang gugur dibuat gulai untuk orang lain dan ada juga yang gugur dan bercambah. Yang dibuat gulai itu menunjukkan kurang tersebar ilmunya manakala yang bercambah pula bagi orang yang dapat menyebarkan ilmunya sehingga dapat melahirkan para ilmuan.”


Sebenarnya, Tuan Guru Haji Ghazali memiliki kemahiran dalam ilmu balaghah, mantik, falak, tafsir, hadits dan fiqh. Justeru itu, dia pernah ditawarkan sebagai guru agama kepada Sultan Iskandar Shah dalam tahun 1935 tetapi beliau menolak secara terhormat kerana “anak kandung yang paling disayanginya” iaitu Madrasah Irsyadiah memerlukan bimbingan serta kepimpinannya tambahan pula ia baru sahaja ditubuhkan. Kemudian sekali lagi pada tahun 1964 Tuan Guru Haji Ghazali ditawarkan jawatan Mufti Perak atas restu Sultan Idris Shah II tetapi ditolaknya juga secara lembut kerana Sekolah Agama Irsyadiah perlukan komitmennya yang khusus demi perkembangan seterusnya.


Rakan-rakan seperjuangannya yang bersama-sama menyemarakan negeri Perak dalam bidang pendidikan dan dakwah ialah Kiyai Muhammad Yasin Thoha al-Bakri (Bagan Datoh), Tuan Guru Haji Abdul Rahman (Teluk Penikam), Tuan Guru Kiai Radin Haji Siraj (Sg. Nipah Darat), Tuan Guru Hajij Abdullah (Sg. Nipah Baroh), Tuan Guru Haji Abbas (Sg. Tiang Darat), Tuan Guru Haji Masduki, Tuan Guru Haji Radzi (Selekoh), Tuan Guru Syaikh Haji Arshad (Batu 20), Tuan Guru Haji Adnan (Tg Bayan) dan Tuan Guru Syaikh Zubir (Kuala Kangsar).


Politik: Haji Ghazali juga terlibat dalam kegiatan politik semenjak di Mekah lagi. Beliau sebagai pelajar lepasan Madrasah Shaulatiyah mempunyai semangat antipenjajah yang kuat. Kerana itu, beliau mendukung perjuangan Hizbul Muslimin pada 1948 dan terlibat secara aktif dalam Majlis Ulama Hilir Perak. Majlis ini bertanggungjawab mencadangkan kepada Umno supaya mengadakan Persidangan Ulama Se-Malaya pada 1950. Setelah Persatuan Ulama Se-Malaya ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, Tuan Guru Haji Ghazali menjadi salah seorang pengasas PAS apabila beliau turut menyertai Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterwoth pada 24 November 1951. Dalam persidangan ini nama persatuan ini diubah kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).


Tuan Guru Haji Ghazali tidak pernah memegang jawatan tinggi dalam parti PAS kerana lebih memberikan tumpuan kepada madrasahnya. Namun begitu, beliau telah menjadi tempat rujukan pimpinan PAS dalam hukum-hakam agama. Pada 1962, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Tarjih Dewan Ulama PAS Pusat, iaitu sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam soal hukum agama seumpama majlis fatwa PAS.


Anugerah: Atas sumbangan jasanya dalam bidang kemasyarakatan terutamanya di dalam konteks pendidikan dan penyebaran dakwah Islamiyah, Tuan Guru Haji Ghazali telah 1989 dianugerahkan sebagai Tokoh Ulamak Silam oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), diikuti oleh anugerah Tokoh Maal Hijrah Hilir Perak (1989) dan telah dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Perak pada tahun 1990. Dan seterusnya di anugerahkan pingat Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) daripada Sultan Perak yang membawa gelaran Dato’ pada 1992. Sesungguhnya anugerah yang diterima hanyalah merupakan sekalung penghargaan dan pengiktirafan insitituti pengajian tinggi, masyarakat dan pemerintah di atas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan beliau setelah berjuang sepanjang hayat sebagai pendidik dan pendakwah yang disegani walaupun pada hakikatnya beliau tidak meminta itu semua.



Kewafatan: Ulama yang berjasa menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Sabtu, 3 Muharram 1418H bersamaan 10 Mei 1997 jam 1.30 petang dalam usia 98 tahun 10 bulan hijriyah. Beliau meninggal dunia kerana sakit tua.


Demikianlah sekelumit biografi ulama kita. Semoga Allah Ta'ala sentiasa mengasihi dan merahmati serta mengurniakan sebaik-baik ganjaran ke Tuan Guru Haji Ghazali dan menghimpunkan beliau dikalangan para kekasihNya. Al-Faatihah ....




Mudah-mudahan dengan paparan biografi ini menjadi inspirasi kepada kita untuk terus memperjuangan apa yang telah diperjuangkan oleh ulama kita.


Sekian dan salam hormat dari al-Haqir Abu Zahrah ‘Abdullah Thahir al-Qedahi. Catatan ini disempurnakan pada hari Rabu, 28 Rabiul Awwal 1430/25 Mac 2009 di teratakku di Gombak.



Sumber rujukan:


  • Majalah Pengasuh Bil. 570 dibawah kolum Tokoh Ulama Semenanjung Melayu oleh Muhammad Rushdi ‘Abdul Malik al-Kalantani
  • Fatimah Abu Bakar, Hj.Ghazali Gigih Berdakwah (Berita Perak, Nov-Dis.1989); Kertas Kerja : Sejarah Perak dalam Kebangkitan Ulama, (Jabatan Agama Islam Perak,1983)
  • Zabidin Haji Ismail, Transkrip Biodata Penerima Anugerah Ma’al Hijrah 1414 Daerah Hilir Perak sempena Majlis Anugerah Maal Hijrah Peringkat Daerah Hilir Perak pada 19 Ogos 1993
  • Website Dewan Ulamak PAS

Tiada ulasan: