Assalamualaikum.
Alhamdullillah.
Selawat dan salam ke atas Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat, para wali Allah, para ulama, para pemimpin, semua muslimin dan muslimat.
Ketika hamba sedang duduk memahami buku mandarin bahagian ke-03, hamba tiba-tiba berasa tidak tenang. Hati berasa tidak tenteram dan tidak selesa. Teringat akan hamba kepada kata-kata tuan guru hamba bahawa hati tidak tenang menunjukkan ada noda-noda hitam di dalam hati. Hati yang kotor dan tidak bersih kerana dipenuhi tompok-tompok hitam menyebabkan hati itu menjadi tempat syaitan melempiaskan serangan-serangan hebat untuk terus menjatuhkan manusia ke lembah hina dan dimurkai Allah. Hati yang leka dek tidak mengenang Allah menyebabkan ia lalai dan memudahkan kerja syaitan untuk menyerongkan pandangan manusia ke arah kegelapan. Hati yang setiap denyutannya alpa menyebabkan syaitan masuk dan melalui urat darahnya sehingga menyebabkan tubuh manusia itu tidak lagi asyik akan Allah.
Kadang-kadang kita leka dan lena dibuai 'mimpin neraka dunia' sehingga lupa akan tujuan asal kita dihantar ke muka bumi Allah ini. Kita alpa dengan kehidupan duniawi yang mengasyikkan. Kita tidak peduli akan aturan-aturan yang telah Allah wahyukan kepada orang yang amat kita cintai, junjungan mulia Rasullullah SAW. Kita membaca ummul kitab setiap hari di dalam waktu solat fardhu tetapi kita tidak menghayati apa yang terkandung di dalam kalimah suci tersebut. Kita membaca ayat-ayat suci al-Quran hampir setiap hari tetapi kita tidak menghayati dan melaksanakan apa yang telah Allah sampaikan melalui ayat-ayat suci al-Quran tersebut.
Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami. Sesungguhnya kami ini hambaMu yang zalim dan sentiasa lupa akan zikir kepadaMu.
Hamba lalai dan tidak mengenangMu. Itulah akibatnya hati hamba semakin kotor dan tidak tenang. Agak banyak yang hamba baca tentang persoalan din tetapi hamba tidak amal dan tidak berusaha untuk menjadi hambaMu yang terbaik. Benarlah firman Allah di dalam surah al-Ash yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia di dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh serta sentiasa berpesan-pesan tentang kebenaran dan kesabaran." Memang hamba selalu berada di dalam kerugian sehingga lalai dan alpa terhadapMu.
Hamba mencari beberapa buah buku berkaitan persoalan din untuk mengubat dan mencari satu titik untuk mengembalikan semangat.
Di dalam buku bertajuk Ayyuhal Walad karangan Sheikh al-Islam al-Imam al-Ghazali r.a., banyak pengetahuan dan hikmah yang boleh kita dapat daripadanya. Nasihat-nasihat yang ditulis oleh Hujjatul Islam itu amat bernas dan bersesuaian dengan jiwa muda bagi seseorang remaja mahupun dewasa. Sesiapa yang membacanya dengan hati yang khusyuk pasti terkesan hingga menusuk ke dalam qalbu.
Moga kita sentiasa berusaha menjadi hamba Allah yang terbaik.
Di dalam surah al-Ikhlas, Allah berfirman yang bermaksud "Katakanlah wahai Muhammad, Allah itu tempat bergantung (tempat berserah)..." Berdasarkan firman tersebut, wajarlah kita berserah kepada Allah dan bergantung kepada Allah atas segala kesempitan dan kelemahan yang kita alami.
Tulisan ini hanya sekadar mengambil iktibar.
Assalamualaikum.
Ahad, 9 Ogos 2009
Hati penuh noda sekadar iktibar
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan