Khamis, 20 Ogos 2009

Ayyuhal Walad

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat Nabi Muhammad SAW, para wali Allah, para ulama, para umara, semua muslimin dan muslimat.

Ada sedikit masa terluang pada kali ini, jadi hamba ingin berkongsi tentang syarahan ke-5 Sheikh al-Islam al-Imam al-Ghazali di dalam kitab Ayyuhal Walad (yang telah diterjemah oleh Sheikhuna Ahmad Fahmi Zamzam juga dikenali sebagai Abu Ali al-Banjari an-Nadwi).

Di dalam nasihat tersebut, beliau menekankan berkenaan keutamaan menetapkan niat yang ikhlas.

Ikuti terjemahannya.

Wahai anakku yang tercinta,

Berapa banyakkah darpada malam-malam yang telah engkau penuhkan dengan berjaga untuk mengulangkaji dan mentelaah kitab, dan berapa lama engkau telah menahan tidur ke atas dirimu. Saya tidak pasti apakah niat yang mendorong engkau berbuat demikianm apakah hanya semata-mata mencari keuntungan dunia, menghimpunkan segala mata bendanya dan mencapai kedudukan yang tinggi serta berbangga dengan kebolehanmu di hadapan kawan-kawan. Jikalau ini niatmu maka engkau akan rugi serugi-ruginya.

Tetapi jika niatmu di dalam segala usahamu itu untuk menghidupkan syariat Nabi Muhammad SAW dan memperbaiki akhlakmu, serta memecahkan keinginan hawa nafsumu yang selalu menyuruh untuk berbuat jahat, maka untunglah engkau seribu untung. Sungguh benar seorang ahli syair yang berkata:

"Berjaga malam kalau bukan kerana zatMu adalah sia-sia dan menangis kalau bukan kerana kehilanganMu adalah tidak berguna"

Begitulah syarahan ke-5 oleh Sheikh al-Islam al-Imam al-Ghazali di dalam karyanya Ayyuhal Walad.

Moga kita cuba memahami intipati syarahan beliau dan mengamalkannya sebagai satu usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Sekian.

Assalamualaikum.

Tiada ulasan: