Khamis, 26 Mac 2009

Mengekalkan keimanan

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat, wali-wali Allah, ulama-ulama, pemimpin-pemimpin, dan semua muslimin muslimat.

Iman bererti membenarkan dalam hati, melafazkan dengan lisan, dan mengamalkan dengan perbuatan.

Iman yang ada pada setiap manusia biasa atau dalam bahasa tasawuf manusia awam, sentiasa naik dan turun umpama roda yang sentiasa berpusing kadang-kadang di atas dan ada masa lain berada di bawah.

Iman para nabi dan rasul pula sentiasa bertambah.

Iman para malaikat sentiasa kekal pada tahap yang ditentukan oleh Allah.

Betapa susahnya untuk mengekalkan tahap keimanan kita sehari-hari. Apabila azan berkumandang, kadang-kadang kita sengaja buat-buat tidak dengar dan tidak menyahut seruan azan tersebut. Selepas azan dilaungkan, kita sepatutnya terus dengan bersegera menunaikan ibadat solat fardhu tetapi hati kita kadang-kadang lalai untuk melakukannya kerana sedang asyik dalam perkara duniawi.

Di dalam surah al-Asr', Allah berfirman, "Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, kecuali manusia yang beriman dan beramal soleh serta sentiasa berpesan tentang kebenaran dan kesabaran".

Manusia dinyatakan selalu rugi sebab utamanya lalai. Kelalain manusia dalam menunaikan ibadat solat, ibadat zikir, ibadat puasa, dan bermacam-macam lagi.

Manusia yang beruntung pula adalah mereka yang beriman dan beramal soleh serta selalu mengingatkan tentang kebenaran dan kesabaran.

Perkataan beriman itu didahulukan bermakna keimanan yang ada di dalam jiwa manusia itu merupakan satu medium penting untuk menjadi khalifah Allah yang sentiasa beruntung. Menjadi hamba Allah yang beruntung bukanlah mudah, kerana ada berbagai pancaroba yang akan menguji tahap keimanan kita seperti riya', takabbur, sombong, kikir, nafsu amarah, dan lain-lain.

Untuk mengekalkan keimanan sehari-hari, perlulah kepada mencari halawatul iman yakni kemanisan di dalam beribadat. Hal demikian bererti kita melakukan sesuatu ibadat itu berlandaskan cara yang terbaik, mantap, bersederhana, tawadhuk, merendah diri, dan redha.

Menggunakan konsep halawatul iman untuk mengekalkan tahap keimanan merupakan satu cara yang efektif. Bahkan kita akan berasa lebih berkeyakinan dan sentiasa berada di dalam perasaan tenang mengenang Allah dan rahsia alam.

Sebaiknya, kita mencari satu wadah untuk mendekatkan diri kepada Allah demi mengekalkan keimanan. Antaranya mencari guru yang mursyid yang dapat memandu kita ke arah keimanan yang sejati. Selain itu, terdapat bermacam aliran tareqat tasawuf di Tanah Melayu, Asia Tenggara, bahkan seluruh dunia, yang mana mampu untuk mendidik jiwa dan nafsu demi menjadi hamba Allah yang sejati.

-Keredhaan Allah jua matlamatku-

Tiada ulasan: