Assalamualaikum.
Alhamdullillah.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasullullah SAW, khulafa ar-rasyidin, para sahabat Nabi SAW, ahlul bait, wali-wali Allah, ulama-ulama, pemimpin-pemimpin, dan muslimin dan muslimat.
Baru-baru ini negara digemparkan dengan suatu kejadian di Pahang yang mana sebuah keluarga sebelas beranak didakwa hampir menjadi murtad.
Kejadian hampir murtad itu berlaku hanya disebabkan keluarga terbabit disisihkan oleh masyarakat setempat.
Inilah fenomena umat Islam yang kian rapuh dalam pengamalan ajaran Islam yang syumul.
Sewajarnya, sebagai penganut ajaran Islam dan pengikut Rasullullah SAW, adalah penting untuk kembali kepada asas prinsip Islam yang terdiri daripada Rukun Iman dan Rukun Islam. Selain itu, Rasullullah SAW telah bersabda yang bermaksud "Aku tinggalkan kepada pengikutku dua perkara yakni Al-Quran dan Sunnahku".
Jadi, pada hemat saya, fenomena hampir murtad ini berlaku adalah disebabkan tiada penghayatan yang mantap dan sempurna ke atas apa yang terkandung di dalam ajaran Islam.
Jikalau kehidupan kita kurang berada, sewajarnya kita bersyukur kerana dengan keadaan demikian Allah memberi rahmat yang tidak ternilai:
1. Kurang berada membolehkan kita beribadat dengan lebih khusyuk kerana tidak perlu memikirkan tentang harta yang perlu diuruskan.
2. Kurang berada membolehkan kita untuk hidu lebih bersederhana yakni sederhana dalam pemakanan, sederhana dalam perbelanjaan harian, sederhana dalam penampilan dan sederhana dalam menguruskan keluarga.
3. Kurang berada membolehkan kita untuk menambah amal ibadat sunat seperti puasa sunat.
4. Kurang berada menjadikan kita lebih menghargai nilai barang dan keupayaan diri kerana bukan mudah untuk membeli barang-barang yang semakin mahal sekarang dan tenaga yang banyak perlu dikerah untuk mendapat hasil atau wang.
5. Kurang berada membolehkan diri kita sentiasa bergantung kepada kuasa Allah yang Maha Esa kerana Allah jua yang memberi rezeki dan menarik rezeki.
JIkalau kita sedang menghadapi masalah, sebenarnya masalah itu adalah ujian Allah dan rahmat Allah juga:
1. Ujian yang Allah turunkan kepada kita adalah untuk menguji tahap keimanan kita.
2. Ujian Allah adalah kifarah kepada dosa-dosa yang lalu, yakni salah satu bentuk penyucian diri.
3. Ujian Allah adalah untuk membentuk jiwa yang tetap dalam mempercayai kuasa Allah dan ajaran yang dibawa oleh Rasullullah SAW.
4. Ujian Allah itu juga memupuk sifat kesabaran, minda yang tenang, dan menyemai benih keredhaan seperti mana firman Allah dalam surah al-Fajr "Wahai jiwa-jiwa yang tenang, pulanglah kepada Tuhanmu dalam keredhaanNya lagi diredhaiNya, maka masuklah ke dalam jemaah hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu".
5. Ujian Allah itu untuk memastikan kita sentiasa bersyukur walau dalam keadaan sihat ataupun sakit dan keadaan lemah ataupun kuat.
Berbalik kepada masalah hampir murtad, fenomena ini hanyalah sedikit yang dapat kita lihat dalam masyarakat sekarang, berkemungkinan besar keadaan yang lebih dashat sedang dan akan berlaku ke atas umat akhir zaman ini.
Nasihat kepada diri sendiri dan umat akhir zaman, ingatlah, tujuan penciptaan manusia ialah agar manusia itu menjadi khalifah Allah di atas muka bumi yakni menjadi hamba Allah yang sentiasa bertindak, bercakap, dan berfikir atas kesedaran kepada Maha Pencipta.Telah jelas dan terbukti di dalam Al-Quran dan kitab-kitab agama lain bahawa hanya Islam agama yang benar dan selamat dan Nabi Muhammad SAW pula merupakan Penghulu dan Penutup Segala Nabi; oleh itu, tidak seharusnya manusia lalai sehingga mahu mencari agama selain Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Moga kita semua sentiasa diberi hidayah dan nur yang suci daripada Allah.
Moga kita semua dimasukkan ke dalam golongan yang benar dan sentiasa mencintai Allah dan rasulNya.
Assalamualaikum.
Khamis, 26 Mac 2009
Krisis keyakinan terhadap Islam, Allah dan Rasullullah SAW
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan