Khamis, 3 September 2009

Perbanyakkan zikir

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia yang amat dicintai Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat Nabi Muhammad SAW, para wali Allah, para ulama, para umara, semua muslimin dan muslimat.

As-Sheikh Daud Bin As-Sheikh Abdullah Al-Fathani menerangkan di dalam kitabnya 'Dhiul Murid' tentang kelebihan berzikir.

Firman Allah di dalam surah al-Anfal, ayat 45 yang bermaksud:

"Dan sebutlah nama Allah akan sebutan yang banyak, semoga kamu mendapat kemenangan"

Firman Allah di dalam surah al-Ahzab, ayat 35 yang bermaksud:

"Dan mereka yang banyak berzikir menyebut Allah, lelaki dan perempuan, disediakan Allah bagi mereka keampunan dan pahala yang amat besar"

Dalil hadith, antaranya sabda Rasullullah SAW yang menerangkan firman Allah (Hadith Qudsi):

"Aku pada sisi sangka hambaKu denganKu. Aku bersertanya bila ia ingat akan Aku, maka bila ia ingat akan Aku di dalam dirinya, Aku ingat akan dia di dalam diriKu. Dan jika ia menyebut Aku pada perhimpunan, Aku sebut dia pada perhimpunan yang lebih banyak daripadanya. Dan jika dia mendekati Aku sejengkal, Aku akan mendekati kepadanya sehasta. Dan jika dia mendekati Aku sehasta, Aku akan mendekati kepadanya sedepa. Dan jika dia datang kepadaKu berjalan, Aku akan datang kepadanya berlari"

Demikianlah sedikit sebanyak kelebihan berzikir seperti yang telah diterangkan oleh As-Sheikh Daud Al-Fathani.

Amalan berzikir tidak hanya dilakukan ketika melaksanakan solat.

Amalan berzikir mesti dilakukan setiap masa dengan apa cara sekalipun supaya kita tidak lupa akan Allah.

Sesetengah ulama telah mengklasifikasikan amalan berzikir kepada dua cara iaitu:
1) zikir jahar yakni berzikir secara nyaring
2) zikir khafi yakni berzikir secara senyap atau di dalam hati
(cara berzikir ini merupakan perkara furu' yang mana menjadi perkara khilaf di dalam pelbagai aliran ajaran Islam)

Oleh itu, terpulang atas diri kita untuk memilih cara terbaik untuk sentiasa mengingati Allah.

Moga kita semua mengambil pengajaran daripada apa yang telah disampaikan oleh ulama besar tersebut.

Moga kita sentiasa hadirkan hati kepada Allah agar selalu di dalam mengenangNya.

Sekian.

Assalamualaikum.

Tiada ulasan: