Ahad, 6 September 2009

Dapat ilmu

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia yang amat dicintai Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat Nabi Muhammad SAW, para wali Allah, para ulama, para umara, semua muslimin dan muslimat.

Hamba telah berjumpa dengan seorang ustaz yang arif secara tidak sengaja ketika sedang meneliti sebuah buku berkaitan tasawuf yang ditulis oleh Zulkifli al-Bakri. Saat hamba sedang menelaah buku tersebut, ustaz itu menegur hamba. Beliau memberi salam, memperkenalkan diri dan bertanya khabar.

Selepas itu, beliau bertanya adakah hamba tertarik dengan ilmu tasawuf yakni salah satu cabang utama ilmu Islam. Hamba menjawab dengan berkata "ya" sahaja sebab hamba pun tak sangka boleh berkenalan dengan ustaz tersebut secara tidak sengaja. Ustaz tersebut hamba rasa telah berumur lebih kurang 65 tahun ke atas, wataknya bersahaja dan merendah diri.

Selepas itu berlakulah sesi berdiskusi tentang ilmu Allah yang amat luas dan tidak berpenghujung.

Beliau memulakan perbincangan atau lebih sedap majlis ilmu itu dengan Rukun Islam yang pertama iaitu 'mengucap dua kalimah syahadah'. Kata beliau ilmu tasawuf itu bermula dengan mengenali dahulu diri dan Tuhan yang Maha Esa. Mengenal diri itu penting dengan mendalami apa yang dimaksudkan di dalam dua kalimah syahadah yang mesti diucapkan apabila seseorang itu mengaku bahawa dirinya adalah seorang muslim yang percaya kepada Allah yang Maha Esa dan Nabi Muhammad SAW itu sebagai pesuruh Allah. Dua kalimah syahadah:

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah Rasul Allah"

Beliau juga berkata bahawa alam ini dicipta dengan kalimah "La ilahaillallah muhammadur rasullullah". Apakah signifikan yang timbul apabila alam ini dicipta dengan kalimah agung itu? Allah telah menciptakan alam yang fana ini dengan kalimah agung itu jelas menunjukkan bahawa Tuhan sekalian alam itu adalah Maha Esa, tiada apa yang boleh disamakan dengan kewujudanNYa, Allah itu tempat bergantung sekalian makhluk, Allah itu tidak diperanakkan dan tidak beranak, segala apa yang terkandung di dalam alam adalah milik Allah, segala makhluk tidak terlepas daripada pengawasan Allah. Nabi Muhammad SAW itu adalah penghulu segala Nabi yang mana telah dikhabarkan oleh Allah sejak penciptaan alam. Nabi Muhammad SAW umpama bulan purnama yang telah menerangi alam. Nur Muhammad telah memancar sejak sekian lama dan menyuluh jalan kepada penganut agama yang suci, Islam.

Ustaz tersebut menyatakan bahawa pentingnya memahami syariat, tarikat, hakikat, dan makrifat. Masyarakat umum atau masyarakat awam kebanyakannya lebih terarah kepada syariat sahaja. Tiada penekanan dibuat ke atas tarikat, hakikat, dan makrifat.

Syariat itu merupakan perkara zahir. Tarikat, hakikat, dan makrifat itu adalah perkara batin. Syariat itu merangkumi apa yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim, juga apa yang perlu dijauhi oleh setiap muslim. Tarikat, hakikat, dan makrifat itu adalah perkara yang bersangkut paut dengan hati, roh, dan hubungan dengan Allah melalui mata hati. Mata kasar manusia hanya mampu melihat apa yang kelihatan secara lahiriah tetapi tidak mampu menembusi apa yang terdapat di alam malakut atau alam roh. Hanya mata hati yang dapat melihat apa yang terkandung di alam rahsia. Untuk mendapatkan mata hati yang tidak terhijab bukanlah mudah kerana dosa-dosa yang sering kita lakukan menjadi penghijab kepada mata hati. Tetapi kata ustaz, Allah itu Maha Pengampun. Jadi jika kita selalu beristighfar dan bertaubat kepada Allah, insyaAllah akan diberikan penglihatan mata hati dengan syarat kita menjauhi apa yang telah dilarang oleh Allah.

Ustaz juga telah memesan bahawa ilmu tasawuf mahupun ilmu-ilmu lain mesti dipelajari melalui pengajaran oleh guru yang benar. Pentingnya mencari ilmu daripada guru yang benar adalah untuk mengelakkan daripada tersesat jalan ketika mendapatkan ilmu. Selain itu, ilmu itu cahaya, cahaya tidak akan sampai ke dalam hati orang tidak bersungguh-sungguh, hati yang kotor, dan hati yang terhijab. Guru yang benar dapat membantu untuk membersihkan hati muridnya, seterusnya memudahkan cahaya (ilmu) menusuk ke dalam qalbu.

Banyak lagi yang ustaz tersebut huraikan tetapi tidak dapt diterjemahkan ke dalam tulisan ini.

Akhir kalam kata ustaz itu bacalah dan kajilah ayat 15 di dalam surah Ali Imran dan 20 ayat terawal di dalam surah al-Baqarah.

Semoga semua mendapat manfaat.

Sekian.

Assalamualaikum.

Tiada ulasan: