Sabtu, 25 April 2009

Kekotoran hati dan jiwa

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat, para wali Allah, para ulama, para pemimpin dan muslimin muslimat.

Ketika bersendirian dan mengenang amalan yang telah dilakukan selama hidup di atas muka bumi ciptaan Allah yang Maha Agung, ana berasa hina dan lemah apabila memikirkan segala perbuatan dan fikiran yang selalu lalai di dalam mengenang Allah.

Allah yang Maha Esa dan Maha Berkuasa mencipta umat manusia untuk menjadi hambaNya atau khalifahNya. Sebagai hamba Allah, adalah wajib ke atas kita untuk taat di dalam melaksanakan perintahNya dan sentiasa meninggalkan laranganNya. Tetapi apakan daya, kita sering alpa dan tergoda dengan pujukan syaitan dan hawa nafsu sehingga tenggelam di dalam lautan dosa dan kebinasaan.

Terasa sebak di hati dan takut apabila memikirkan betapa banyak dosa dan kemungkaran yang telah dilakukan sama ada secara sedar atau tidak sedar. Kita juga tidak sedar bahawa kadang-kadang kita terlibat di dalam syirik kecil, contohnya apabila seseorang datang memohon bantuan kita sama dari segi material, fizikal dan lain-lain, dan kita berjaya membantu orag tersebut kemudian di dalam hati kita berkata, alangkah hebat dan bagusnya aku kerana dapat menolong sifulan tersebut. Apabila kita berkata sedemikian di dalam hati, secara tidak langsung kita telah terjebak di dalam syirik kecil. Nauzubillah. Mohon keampunan Allah jika kami telah melakukan sedemikian ya Allah.

Sheikh al-Islam, imam al-Ghazali rahimahullahu taala menyatakan di dalam kitabnya bidayatul hidayah, penyakit hati itu terbahagi kepada sepuluh yakni sangat gemar kepada memperbanyakkan makan, sangat gemar kepada memperbanyakkan perkataan, marah, dengki, kikir dan kasih kepada harta, kasih akan kemegahan, kasih akan dunia, takabbur, ujub, dan riya.

Maka kata sheikh al-Islam, imam al-Ghazali rahimahullahu taala, wajib ke atas setiap mukallaf itu menyucikan hati mereka daripada penyakit-penyakit hati ini kerana firman Allah taala di dalam surah as-Syams ayat sembilan yang bermaksud "Sesungguhnya telah dapat kemenangan oleh seseorang yang menyucikan hati mereka itu daripada sifat yang tercela itu". Hadith nabi yang diriwayatkan oleh imam Muslim dan imam Tirmizi; sabda Nabi SAW "menyucikan akan hati daripada sifat yang tercela itu ialah setengah daripada iman".

Mungkin mudah untuk kita bercakap dan menyuruh sekalian manusia agar sentiasa menyucikan hati dan tidak membiarkan hati dan jiwa dikuasai oleh penyakit-penyakit hati seperti yang digariskan oleh imam al-Ghazali, tetapi ingatlah jika tidak ada sesiapa yang memberi nasihat di antara satu sama lain maka akibatnya setiap manusia itu akan terus berada di dalam gelombang nafsu yang hina dan di dalam pelukan syaitan.

Berbalik kepada keadaan setiap manusia termasuk diri ana ini, kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa sebab tidak ada manusia yang maksum kecuali para nabi dan rasul. Iman kita sebagai orang awam kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun ibarat roda yang sentiasa berpusing. Justeru, kita perlu banyak memohon keampunan Allah dan sentiasa berada di dalam kesedaran mengenang akan Allah taala. Kata seorang sufi agung, Sufyan ath-Thauri, pamannya sentiasa menyuruh beliau untuk menyebut ini di dalam hati setiap hari sehingga pada satu tahap pada setiap masa harus disebut di dalam hati yakni "Allahu hadhiri, Allahu nadhiri, Allahu ma'i". Kesan daripada amalan itu, beliau selalu berada di dalam keadaan mengenang Allah taala, sehinggakan beliau berasa tenang dan mencapai ilmu yakin.

Kesimpulannya, kita adalah hamba Allah yang diamanahkan oleh Allah yang Maha Pencipta untuk beribadat kepadaNya pada setiap masa dan di mana sahaja. Kita tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan sehingga menyebabkan hati dan jiwa menjadi kotor dan dijangkiti titik-titik hitam yang menjadi hijab untuk mendekatkan diri kepada Allah. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk memohon keampunan Allah dan sentiasa bermujahadah bermusyahadah agar hati dan jiwa kita sentiasa dekat dengan Allah taala.

Tiada ulasan: