Khamis, 25 Disember 2008

Hukum Membaca Al-Quran Al-Karim Di Kubur

Menjadi kebiasaan orang kita, apabila menziarahi kubur akan membaca ayat-ayat suci al-Quran, setidak-tidaknya surah al-Fatihah. Dan biasa juga yang duduk seketika di sisi kubur insan tersayang untuk membaca surah Yaasin. Zaman berzaman hal ini dilakukan, dari generasi moyang ke datuk seterusnya ke bapa dan akhirnya ke anak. Tanpa ada tegahan dan larangan atau sindiran daripada mana-mana pihak. Cuma akhir - akhir ini, ada yang membid`ahkan amalan membaca al-Quran di kuburan. Untuk pengetahuan, hal ini memang ada khilaf, bila ada khilaf terpulang untuk pihak mengikut mana pendapat yang hendak dipegang. Kita di rantau sini yang telah sekian lama mengikut mazhab Syafi`i yang berpegang kepada kesunnahan membaca al-Quran di kuburan. Imam an-Nawawi dalam "al-Adzkar" menyatakan:-
  • Imam asy-Syafi`i dan sahabat-sahabatnya (yakni ulama-ulama mazhab Syafi`i) menyukai (dihukumkan mustahab) agar dibacakan sesuatu dari al-Quran di sisinya (di sisi perkuburan), bahkan mereka menyatakan jika sekiranya dikhatamkan sekalian al-Quran itu adalah baik.

Dalam kitab "ad-Dzakhiratuts-Tsaminah" dinyatakan :-

  • Dan sesungguhnya terdapat riwayat mutawatir bahawasanya Imam asy-Syafi`i telah menziarahi kubur Imam Laits bin Sa`ad dan beliau telah memujinya dengan pujian yang baik dan telah membaca di sisi kuburnya al-Quran sekali khatam. Seterusnya beliau berkata: " Aku berharap agar berterusan perbuatan ini", dan begitulah berterusan perkara tersebut seperti demikian.

Dalam kitab yang sama juga dinyatakan:-

  • Imam al-Khallal telah meriwayatkan Imam asy-Sya'bi sebagai berkata:- "Adalah orang-orang Anshar, jika ada yang meninggal dunia di antara mereka, maka mereka secara bergantian datang ke kuburnya untuk membacakan al-Quran.

Akhir kalam, buat kali ini, insya-Allah, Syaikh Abdur Rahman al-Jaziri dalam kitab "al-Fiqh 'ala Madzahibil Arba`ah" menyatakan:-

  • Dan sewajarnya bagi orang yang menziarahi tanah perkuburan untuk menyibukan dirinya dengan doa dan tadharru` (merendah diri) dan mengambil iktibar dengan orang-orang mati serta membacakan al-Quran untuk si mati. Maka yang sedemikian tadi bermanfaat untuk si mati atas qawl yang asah.

Yang tak nak baca, tok sahlah baca, duduk diam-diam, bertafakkur ke, ikut style Samy Velu. Kita yang bermazhab Syafi`i, bacalah al-Quran dan diakhiri dengan doa dan istighfar.

Tiada ulasan: