Khamis, 25 Disember 2008

Haul Imam Al-Haddad (Bahrus Shofa)

Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad wafat pada 7 Dzul Qa`edah 1132H. Beliau adalah seorang waliyullah yang mencapai darjat quthub dan ahli dakwah yang unggul. Mufti negeri-negeri Hadhramaut, Habib 'Abdur Rahman dalam "Ghayatu Talkhis al-Murad" menyatakan bahawa Imam al-Haddad adalah mujaddid kurun yang ke - 11H. Maqamnya sebagai wali Quthub atau Sulthanul Awliya` telah diketahui umum dan diperakui oleh para ulama pada masa hayat beliau dan selepasnya.

Diceritakan bahawa Syaikh Abu Thayyib al-Maghribi telah bermusafir ke Maghribi untuk menziarahi kaum keluarganya di sana. Semasa di Maghribi, dia mendengar tentang seorang wali yang terkenal, lalu dia pun pergi menziarahi wali tersebut. Semasa berziarah dan melihat wali tersebut, terdetik dalam hatinya bahawa wali ini sudah tentu seorang Quthub. Tiba-tiba wali tersebut memandang tepat kepadanya dan menyatakan bahawa beliau bukanlah Quthub yang dicarinya kerana Quthub tersebut berada di Yaman, iaitu Sayyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad rhm.

Haul @ Hol Imam al-Haddad telah diperingati di berbagai tempat di Malaysia, alhamdulillah. Kenapa kita memperingati hol Imam besar ini? Bukan untuk bermegah-megah atau bersuka-suka, tetapi antaranya, sebagai ikhtiar "ngalap berkat" dan mendapat madad dan syafaat Imam al-Haddad pada hari di mana amalan kita dihisab. Mudah-mudahan pada hari tersebut, kita memperolehi syafaat Imam al-Haddad dan para leluhurnya terutama sekali Jadduhul A'dhzam, Junjungan Nabi s.a.w.

Sebagai pengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah, semestinya kita percaya kepada adanya syafaat daripada orang-orang yang diizinkan Allah s.w.t. untuk memberikannya. Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali r.a. dalam kitab "Ihya` Ulumiddin" menyatakan:-
"Dan hendaklah kita beriman yakni percaya dengan (adanya) syafaat para nabi, kemudian syafaat para ulama, kemudian syafaat para syuhada`, kemudian syafaat segala orang mukmin menurut jah dan kedudukannya di sisi Allah ta'ala."
Mudah-mudahan dengan kita memperingati al-Habib, maka al-Habib akan juga ingat kepada kita. Mudah-mudahan al-Habib sudi mendoakan kita agar sejahtera di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kita dikumpulkan bersama beliau dalam syurga Firdaus beserta nendanya yang mulia Junjungan Nabi s.a.w. Allahu ... Allah, inilah kesudahan cita-cita kita, untuk dapat bersama mereka dalam keredhaan dan rahmat Ilahi Rabbi. ..... al-Fatihah bil qabul

Tiada ulasan: