Ahad, 22 Jun 2008

Kata-kata Ulama Tentang Wahabi (Al-Fanshuri)

Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif bin Abdullah al-Minankabawi lahir pada hari Isnin, 6 Zulhijjah 1276H/26 Jun 1860M di Sumatera dan pada wafat 9 Jumadilawwal 1334H/13 Mac 1916M di Mekah. Salah seorang ulama melayu yang telah mengangkat martabat ulama melayu kerana beliau pernah menjadi imam dan khatib dalam Mazhab Syafie di Masjidilharam Mekah. Antara guru-guru beliau adalah Sayid Bakri Syatha, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Antara muridnya pula adalah Syaikh Hasan Ma’sum dan Syaikh Abdul Karim Amrullah [ayahanda kepada Buya HAMKA]. Seketika berlaku polemik diantara kedua murid beliau iaitu Syaikh Hassan Ma’sum yang beraliran ‘kaum tua’ dan Syaikh Abdul Karim Amrullah [ dikenali juga dengan Haji Rasul Amrullah, wafat 2 Jun 1945 - gambar sebelah] yang beraliran ‘kaum muda’, Syaikh Ahmad Khatib telah menyebelahi muridnya Syaikh Hassan Ma’sum dan dengan tegas menulis Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim dan Wahabiyah yang diikuti oleh anak murid beliau [Syaikh Abdul Karim Amrullah] adalah sesat. Menurut Syaikh Ahmad Khatib Minangkabau, golongan tersebut sesat kerana keluar daripada fahaman Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah dan menyalahi pegangan mazhab yang empat. Antara tulisannya ialah al-Khiththah al-Mardhiyah fi Raddi fi Syubhati man qala Bid’ah at-Talaffuzh bian-Niyah, Nur al-Syam’at fi Ahkam al-Jum’ah dan lain-lain.

Diantara nasihatnya: “Maka betapakah akan batal dengan fikiran orang yang muqallid yang semata-mata dengan faham yang salah dengan taqlid kepada Ibnu al-Qaiyim yang tiada terpakai qaulnya pada Mazhab Syafie. ……………Maka wajiblah atas orang yang hendak selamat pada agamanya bahawa ia berpegang dengan segala hukum yang telah tetap pada mazhab kita. Dan janganlah ia membenarkan akan yang menyalahi demikian itu daripada fatwa yang palsu.”



Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad
lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301H/7 Ogos 1884M dan beliau wafat pada pada 17 Jumadilakhir 1382H bersamaan14 November 1962M. Dilantik menjadi Mufti Johor sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1934 – 1941 dan 1947 - 1961. Antara guru-guru beliau ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad, Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, Habib Thahir bin Abi Bakri al-Haddad dan al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi ash-Shiddiqi al-Bakari.




Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak menurut aliran ‘kaum tua’. Beliau sangat menyanggah pendapat dan pegangan Syaikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati dan yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung, bahkan Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor demi untuk membendung menularnya fahaman kaum muda @ wahabi. [Syaikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati dan A. Hassan Bandung – wafat pada 10 November 1958 - adalah merupakan ulama ‘kaum muda’]




Didalam Fatwa Mufti Kerajaan Johor yang telah difatwakan oleh Allahyarham al-‘Allamah Dato’ Sayyid Alwi bin Thahir al-Haddad, Mufti Kerajaan Johor 1936 – 1961M = 1356 – 1381H, dikumpul dan diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor, halaman 397 – 399:

PERKARA: MENGENAL KAUM MUDA –WAHHABI-DAN MUSUH-MUSUH ISLAM.

Soalan: Bagaimanakah dapat kenal atau ketahui alamat-alamat kaum muda (wahhabi) itu? Adakah kaum muda itu terjumlah dalam golongan Islam?

Jawab: Jawab Soalan Pertama:Yang dikatakan Kaum Muda (Wahhabi) pada pertuturan orang-orang zaman ini (zaman beliau) ialah suatu kumpulan orang-orang yang tiada mengerti dan faham tentang Islam, mereka bersungguh-sungguh hendak menghampir dan menyatukan agama Islam kepada agama lain. Apa jua perkara yang terbit daripada agama Kristian atau Majusi, mana yang dipandang mereka molek dan elok pada zhohirnya berkehendaklah mereka memalingkan hukum-hukum Islam kepadanya seperti berkata setengah mereka itu (wahhabi): Babi itu suatu binatang yang suci, dan berkata setengah yang lain pula; Tiada sah ruju’ dengan tiada redha perempuan, dan berkata yang lain pula; Nabi Allah ‘Isa عليه السلام berbapa seperti perkataan orang-orang Yahudi.”


Setengah dari alamat (ciri-ciri) mereka itu (wahhabi):

  • Mereka marahkan Imam-Imam Mazhab yang empat dan ulama’ fiqh, mereka mengaku mengetahui al-Quran dan al-Hadits Nabawi.
  • Mereka membangkang ijma’, menyebarkan masalah khilaf di antara umat-umat Islam supaya menambah porak peranda umat-umat Islam sebagai mana disukai oleh seteru-seteru Islam.
  • Apabila mereka melihat orang-orang Islam tiada menyentuh al-Quran melainkan kemudian daripada mengambil air sembahyang, mereka (wahhabi) berkata; Harus menyentuh al-Quran dengan tiada air sembahyang.
  • Apabila mereka melihat orang Islam tiada membaca al-Quran melainkan kemudian daripada bersuci daripada hadats besar, mereka (wahhabi) berkata; Harus membaca al-Quran kalau ada hadats besar sekalipun.
  • Apabila mereka melihat orang-orang Islam menjauhkan diri daripada najis seperti arak dan babi, mereka berkata ; Kedua-dua perkara itu suci. Mereka mencita-cita (bercita-cita) supaya orang Islam menjadi seperti orang Majusi. Mereka berlumur dengan lemak babi dan mencurahkan arak kepada bajunya kemudian sembahyang.
  • Setengah mereka itu sepanjang hari memain (bermain) kemaluannya atau menyentuh kemaluan isterinya beberapa kali kemudian boleh dia sembahyang (‘la za’mihim) dengan tiada mengambil air sembahyang.
  • Lagi demikian jua kalau ia membuat rantai leher daripada daging babi atau memakai kulit babi yang basah kemudian pergi sembahyang, nescaya sah sembahyang disisi mereka.
  • Kalau mereka bergelumbang dalam reban ayam atau kandang kambing atau lembu dan jadi baunya sebusuk-busuk manusia, kemudian ia sembahyang sah juga sembahyang disisi mereka.
  • Dan setengah dari ‘alamat mereka itu (wahhabi), mereka bersungguh mengamat-amati dan mengambil susah dalam perkara yang kecil-kecil seperti talqin, tahlil dan seumpamanya dan tiada menghiraukan perkara-perkara yang besar-besar seperti dosa-dosa besar yang telah membiak setengah daripadanya berzina, riba, was-was sangka pada Allah dan mengajar kanak-kanak Islam agama yang bukan Agama Islam. Perkara ini semua tiada disebut (dititik beratkan oleh wahhabi)dan tiada dihiraukannya.
  • Dan setengah daripada ‘alamat mereka itu, mereka berseteru dan merekakan masalah-masalah fiqh yang tiada padanya khilaf, barangsiapa menyalahi akan mereka itu pada satu daripada masalah-masalah fiqah seperti suatu hukum daripada hukum-hukum sembahyang atau sujud sahwi atau tayammum atau sunnah talqin, nescaya mereka jadikan orang itu seteru, terus diingkarkannya.
  • Semuanya ini ialah adat orang-orang khawarij (orang-orang yang benci akan Sayyidina ‘Ali karramahu wajhah) dan ‘adat ahlul bid’ah yang menyalahi puak-puak Islam kerana sahabat-sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم, al-Tabi’in, mereka yang kemudian daripada Imam-imam mazhab yang empat dan sekalian ‘ulama’ mazhab, mereka bersalah-salahan (berselisihan pendapat) pada beberapa masalah dalam masalah fiqah (furu’ fiqhiyyah) tetapi mereka tiada berseteru diantara setengah dengan setengahnya dengan sebab bersalah-salahan ambilnya itu kerana bukannya bersalahan itu pada usul (asal masalah) bahkan pada furu’ (cawangan-cawangan) sahaja. …….

Syaikh Hasan Ma’shum Mufti Kerajaan Deli yang nama lengkapnya ialah Hasanuddin bin Muhammad Ma’shum bin Abi Bakar ad-Dali (Deli). Namun lebih dikenali dengan Syaikh Hasan Ma’shum. Asal keturunan dari Acheh kemudian berpindah ke Deli. Lahir di Labuhan Deli, Sumatera Utara pada tahun 1300H/1882M dan wafat di Medan pada 24 Syawal 1355H/7 Januari 1937M. Ayah dan datuknya juga merupakan ulama. Seorang pembela kamu tua ketika berlaku pertembungan pendapat antara kaum tua dan kaum muda. Antara kitab yang beliau tulis untuk menyanggah pendapat kaum muda adalah Al-Quthufat as-Saniyah fi Raddi Ba’dhi Kalam al-Fawaid al-‘Aliyah [kitab ini mendapat pujian dari gurunya Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Abdul Qadir Shabir al-Mandaili], Beberapa Masail [untuk menangkis 19 perkara yang dilemparkan oleh Kaum Muda @ Wahabi yang dianggap bidaah oleh mereka iaitu antaranya tentang melafazkan ‘Usalli’, membaca talkin, mengaji (membaca al-Quran) di kubur,berdiri ketika marhaban, mempercayai ulama, lafaz ‘Saidina’ dalam shalawat, qadha sembahyang, mengangkat tangan ketika qunut, ziarah makam Nabi صلى الله عليه وسلم , membaca al-Quran untuk orang mati, fidyah sembahyang, ziarah kubur dan lain-lain lagi. Kitab ini dicetak pada tahun 1929 (cetakan kedua)]


Jelas bahawa ulama-ulama diatas menolak fahaman/ajaran yang dibawa oleh kaum muda atau Wahabi. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu yang terkenal mereka itu dengan ke’aliman dalam pelbagai cabang ilmu, kewarakan dan ketaqwaannya.

Kata al-Marhum Tuan Guru Syaikh Wan Muhammad Shaghir bin Wan Abdullah:
“Ada orang jadi masyhur namanya kerana mempertahankan sesuatu pegangan yang diamalkan oleh orang ramai. Tidak dinafikan juga bahawa seseorang jadi masyhur kerana membantah amalan orang lain. Seseorang yang mempertahankan pegangan, sama ada yang betul ataupun yang salah, ada yang terikat dengan adab-adab yang tertentu, tetapi tidak sedikit yang tiada beradab. - Walau bagaimana hebat pun seseorang memperoleh kemasyhuran sanjungan manusia, tetapi jika pemikiran, pekerjaan dan perbuatannya tiada diredhai Allah, dia bukanlah seorang yang bijak. Hakikatnya dialah orang yang paling bodoh”

Tiada ulasan: