Khamis, 3 Januari 2013

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar lagi mulia Nabi Muhammad SAW, ahlul bait, para sahabat, para wali Allah, para syuhada, para ulama, para sholihin, para umara serta muslimin dan muslimat.

Syukur kepada Allah, dengan kudratNya, kita masih hidup sebagai makhlukNya di atas muka bumi. Syukur juga dengan kurniaanNya, kita masih dapat menjadi hambaNya.

Dalam tempoh kehidupan ini, kita semakin berusia. Ada di kalangan kita yang menyambut hari lahir seolah-olah baru sahaja sampai ke dunia; tanpa disedari kita sebenarnya semakin hampir ke penghujung nyawa. Malaikat Izrail datang menziarahi kita lima kali setiap hari; kita tidak sedar akan kedatangan Malaikat Izrail disebabkan kelalaian dan kealpaan kepada perkara dunia. 

Perjalanan hidup kita tidak lama bahkan semakin cepat. Tanpa disedari kita sudah melangkah ke tahun berbeza walhal kita seakan baru sahaja melakukan sesuatu atau mengalami kejadian tertentu. Itulah masa yang sudah ditetapkan oleh Allah. Masa berlalu meninggalkan kita. Kita mesti bahkan wajib melampaui masa agar tidak menjadi orang yang rugi sepertimana yang Allah berfirman dalam Surah al-A'sr, ayat pertama berbunyi "Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian". Takutlah kita kepada kekuasaan Allah kerana firman Allah itu sangat benar; perhatikan segala tindak tanduk manusia dalam kehidupan sehari-hari, berapa lama amalan seharian dikhususkan kepada Allah? Berapa lama amalan seharian dilakukan dengan niat ikhlas kepada Allah?

Moga dengan izin Allah, kita menjadi hambaNya yang sentiasa ke hadapan dalam melakukan amal seharian (ibadah) berserta dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata.

Moga kita semua sentiasa berada dalam kasih sayang Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Moga kita semua mendapat rahmat, berkat dan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Segala yang baik daripada Allah, segala yang kurang baik daripada hamba Allah yang kerdil ini.

Wallahu a'lam.

Selasa, 21 September 2010

Bersahabat

Assalamualaikum.


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW, ahlul bait, para sahabat, para wali Allah, para ulama, para umara, sekian muslimin dan muslimat.

Kata Imam Jaafar as-Siddiq r.a.:
"Barang siapa menggali lubang untuk mencelakakan saudaranya, maka dia sendiri yang akan terjerumus ke dalamnya. Barang siapa memasuki tempat-tempat yang biasa dikunjungi orang-orang bodoh, maka dia akan direndahkan. Barang siapa bergaul dengan ulama, dia akan dimuliakan. Dan barang siapa memasuki tempat-tempat kemaksiatan, maka dia akan dituduh berbuat maksiat".

Berkawan biar seribu. Itulah pepatah nenek moyang kita. Mencari kawan biarlah seramai mungkin. Tetapi kawan yang bagaimanakah yang mesti dicari? Sebaik-baik yang dicari biarlah yang dapat membimbing dan membawa kita kepada Allah. Kewujudan manusia berbilang bangsa dan kaum yang dicipta oleh Allah adalah untuk membolehkan setiap daripada kumpulan manusia itu untuk saling bertaaruf dan kenal antara satu sama lain sepertimana yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran al-karim.

Menjadi sahabat tidaklah boleh diambil mudah. Kita bersahabat untuk mengembangkan kemanusiaan dan mencari redha Allah di dunia dan akhirat. Kita tidak bersahabat untuk merosakkan antara satu sama lain. Kita tidak bersahabat untuk saling berbunuhan atau saling bercakaran antara satu sama lain. Kita bersahabat demi memberi contoh teladan dan menjadi pembimbing antara satu sama lain.

Lihatlah erti persahabatan yang wujud ketika zaman awal Islam. Selamilah kuatnya ikatan persaudaraan di antara umat Islam ketika zaman Rasulullah SAW dan zaman para sahabat. Kukuhnya nilai persaudaraan pada ketika itu didasari oleh persaudaraan Islam yang sejati. Mereka saling mengingatkan antara satu sama lain tentang kebenaran Islam. Mereka saling menasihati antara sama lain dalam segenap aspek kehidupan. Mereka saling mengambil berat antara sama lain. Jika ada yang tidak dapat hadir ke masjid, secepat kilat dicari untuk mendapatkan keadaannya. Jika ada yang tidak dapat hadir ke musyawarah dan tazkirah, secepat mungkin dicari untuk mengetahui apa yang berlaku.

Keadaan zaman sekarang sangatlah merugikan segenap umat Islam. Kita tidak memberi penekanan sebaik mungkin dalam persaudaraan Islam. Kita hampir gagal membentuk satu ummah yang bersatu. Kita hampir gagal menjadi contoh teladan dan menjadi pembimbing antara satu sama lain.

Moga Allah memberi pertolongan kepada setiap umat Islam demi persaudaraan Islam.

Moga Allah memberkati dan merahmati setiap umat Islam.

Moga Allah memberi pertolongan kepada setiap umat Islam demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sekian.




Isnin, 20 September 2010

Sekadar Berkongsi

Assalamualaikum.


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW, ahlul bait, para sahabat, para wali Allah, para ulama, para umara, sekian muslimin dan muslimat.

Agak begitu lama tak berblog. Banyak kekangan. Banyak noda dan cabaran. Banyak perhitungan dalam kehidupan seharian. Moga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk terus menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Penat bekerja seharian di pejabat. Penat menunaikan tanggungjawab sebagai pemakan gaji. Itulah amanah yang diberi oleh Allah. Kerja sebagai satu amanah; bukan perkara main-main. Amanah sebagai pemakan gaji itu masih ringan jika dibandingkan dengan amanah dalam aspek dan tugas lain.

Amanah sebagai hamba Allah. Dimudahkan cerita, ambil sahaja Rukun Islam. Mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat 5 waktu yang diwajibkan, menunaikan puasa sebulan dalam bulan ramadhan yang mulia, menunaikan zakat bagi orang yang dimestikan mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji bagi orang yang berkemampuan.

Dipendekkan cerita lagi, solat 5 waktu. Adakah kita telah betul-betul menjaga solat 5 waktu itu dengan baik? Bagi yang menjaganya dengan baik, Alhamdulillah. Bagi yang masih belum tetap dengan solat 5 waktu itu, moga Allah memberi hidayah dan memberi keampunan. Bayangkan, solat 5 waktu hanyalah sedikit dari amanah yang Allah beri untuk kita jaga. Belum lagi masuk bab bersuci, puasa, munakahat, dan lain-lain. Moga Allah menyelamatkan kita daripada lalai dalam menjaga amanah.

Setiap amanah yang dipertanggungjawabkan akan dihitung tika Hari Pembalasan. Jika baik penjagaannya, dapatlah pembalasan yang baik. Jika buruk penjagaannya, dapatlah pembalasan yang buruk.

Ingatlah setiap yang kita lakukan pembalasan. Paling mudah, pembalasannya sama ada syurga atau neraka. Seperti kata Allah di dalam al-Quran al-karim, "Disediakan dua jalan, jalan kebaikan untuk dilalui dan jalan keburukan untuk dijauhi". Terpulang kepada kita untuk memilih syurga atau neraka. Jika mahu syurga, tunaikanlah amanah sebaiknya. Yang pasti tiada manusia yang inginkan neraka.

Moga sedikit bicara ini dapatlah dikongsi bersama.

Segala yang baik daripada Allah, segala yang kurang baik daripada Allah tapi disandarkan ke atas diri ini.

Sekian.

Khamis, 14 Januari 2010

Kembali

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat, para wali Allah, para ulama, para umara, dan sekian muslimin dan muslimat.

Selamat maju jaya kepada semua sahabat dan muslimin serta muslimat.

Kita sudah melangkah masuk ke dalam tahun baru Hijriyyah dan Masihi, moga dengan itu kita meneruskan segalanya dengan niat yang ikhlas dan murni hanya kerana Allah.

Hari-hari yang mendatang akan terus mengajar kita erti hidup, jadikanlah sesuatu pengalaman hidup untuk terus tingkatkan kualiti hidup kita, janganlah kita berada di takuk lama.

Marilah sama-sama kita berusaha dalam amalan seharian untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Sejahat-jahat manusia, jika terdapat sebesar zarah imannya maka dia akan berusaha untuk mencari jalan pulang kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.

- Selamat kembali ke alam blog -

Sekian, terima kasih.

Ahad, 6 September 2009

Dapat ilmu

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia yang amat dicintai Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat Nabi Muhammad SAW, para wali Allah, para ulama, para umara, semua muslimin dan muslimat.

Hamba telah berjumpa dengan seorang ustaz yang arif secara tidak sengaja ketika sedang meneliti sebuah buku berkaitan tasawuf yang ditulis oleh Zulkifli al-Bakri. Saat hamba sedang menelaah buku tersebut, ustaz itu menegur hamba. Beliau memberi salam, memperkenalkan diri dan bertanya khabar.

Selepas itu, beliau bertanya adakah hamba tertarik dengan ilmu tasawuf yakni salah satu cabang utama ilmu Islam. Hamba menjawab dengan berkata "ya" sahaja sebab hamba pun tak sangka boleh berkenalan dengan ustaz tersebut secara tidak sengaja. Ustaz tersebut hamba rasa telah berumur lebih kurang 65 tahun ke atas, wataknya bersahaja dan merendah diri.

Selepas itu berlakulah sesi berdiskusi tentang ilmu Allah yang amat luas dan tidak berpenghujung.

Beliau memulakan perbincangan atau lebih sedap majlis ilmu itu dengan Rukun Islam yang pertama iaitu 'mengucap dua kalimah syahadah'. Kata beliau ilmu tasawuf itu bermula dengan mengenali dahulu diri dan Tuhan yang Maha Esa. Mengenal diri itu penting dengan mendalami apa yang dimaksudkan di dalam dua kalimah syahadah yang mesti diucapkan apabila seseorang itu mengaku bahawa dirinya adalah seorang muslim yang percaya kepada Allah yang Maha Esa dan Nabi Muhammad SAW itu sebagai pesuruh Allah. Dua kalimah syahadah:

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah Rasul Allah"

Beliau juga berkata bahawa alam ini dicipta dengan kalimah "La ilahaillallah muhammadur rasullullah". Apakah signifikan yang timbul apabila alam ini dicipta dengan kalimah agung itu? Allah telah menciptakan alam yang fana ini dengan kalimah agung itu jelas menunjukkan bahawa Tuhan sekalian alam itu adalah Maha Esa, tiada apa yang boleh disamakan dengan kewujudanNYa, Allah itu tempat bergantung sekalian makhluk, Allah itu tidak diperanakkan dan tidak beranak, segala apa yang terkandung di dalam alam adalah milik Allah, segala makhluk tidak terlepas daripada pengawasan Allah. Nabi Muhammad SAW itu adalah penghulu segala Nabi yang mana telah dikhabarkan oleh Allah sejak penciptaan alam. Nabi Muhammad SAW umpama bulan purnama yang telah menerangi alam. Nur Muhammad telah memancar sejak sekian lama dan menyuluh jalan kepada penganut agama yang suci, Islam.

Ustaz tersebut menyatakan bahawa pentingnya memahami syariat, tarikat, hakikat, dan makrifat. Masyarakat umum atau masyarakat awam kebanyakannya lebih terarah kepada syariat sahaja. Tiada penekanan dibuat ke atas tarikat, hakikat, dan makrifat.

Syariat itu merupakan perkara zahir. Tarikat, hakikat, dan makrifat itu adalah perkara batin. Syariat itu merangkumi apa yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim, juga apa yang perlu dijauhi oleh setiap muslim. Tarikat, hakikat, dan makrifat itu adalah perkara yang bersangkut paut dengan hati, roh, dan hubungan dengan Allah melalui mata hati. Mata kasar manusia hanya mampu melihat apa yang kelihatan secara lahiriah tetapi tidak mampu menembusi apa yang terdapat di alam malakut atau alam roh. Hanya mata hati yang dapat melihat apa yang terkandung di alam rahsia. Untuk mendapatkan mata hati yang tidak terhijab bukanlah mudah kerana dosa-dosa yang sering kita lakukan menjadi penghijab kepada mata hati. Tetapi kata ustaz, Allah itu Maha Pengampun. Jadi jika kita selalu beristighfar dan bertaubat kepada Allah, insyaAllah akan diberikan penglihatan mata hati dengan syarat kita menjauhi apa yang telah dilarang oleh Allah.

Ustaz juga telah memesan bahawa ilmu tasawuf mahupun ilmu-ilmu lain mesti dipelajari melalui pengajaran oleh guru yang benar. Pentingnya mencari ilmu daripada guru yang benar adalah untuk mengelakkan daripada tersesat jalan ketika mendapatkan ilmu. Selain itu, ilmu itu cahaya, cahaya tidak akan sampai ke dalam hati orang tidak bersungguh-sungguh, hati yang kotor, dan hati yang terhijab. Guru yang benar dapat membantu untuk membersihkan hati muridnya, seterusnya memudahkan cahaya (ilmu) menusuk ke dalam qalbu.

Banyak lagi yang ustaz tersebut huraikan tetapi tidak dapt diterjemahkan ke dalam tulisan ini.

Akhir kalam kata ustaz itu bacalah dan kajilah ayat 15 di dalam surah Ali Imran dan 20 ayat terawal di dalam surah al-Baqarah.

Semoga semua mendapat manfaat.

Sekian.

Assalamualaikum.