Khamis, 26 Mac 2009

Mengekalkan keimanan

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasullullah SAW, ahlul bait, para sahabat, wali-wali Allah, ulama-ulama, pemimpin-pemimpin, dan semua muslimin muslimat.

Iman bererti membenarkan dalam hati, melafazkan dengan lisan, dan mengamalkan dengan perbuatan.

Iman yang ada pada setiap manusia biasa atau dalam bahasa tasawuf manusia awam, sentiasa naik dan turun umpama roda yang sentiasa berpusing kadang-kadang di atas dan ada masa lain berada di bawah.

Iman para nabi dan rasul pula sentiasa bertambah.

Iman para malaikat sentiasa kekal pada tahap yang ditentukan oleh Allah.

Betapa susahnya untuk mengekalkan tahap keimanan kita sehari-hari. Apabila azan berkumandang, kadang-kadang kita sengaja buat-buat tidak dengar dan tidak menyahut seruan azan tersebut. Selepas azan dilaungkan, kita sepatutnya terus dengan bersegera menunaikan ibadat solat fardhu tetapi hati kita kadang-kadang lalai untuk melakukannya kerana sedang asyik dalam perkara duniawi.

Di dalam surah al-Asr', Allah berfirman, "Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, kecuali manusia yang beriman dan beramal soleh serta sentiasa berpesan tentang kebenaran dan kesabaran".

Manusia dinyatakan selalu rugi sebab utamanya lalai. Kelalain manusia dalam menunaikan ibadat solat, ibadat zikir, ibadat puasa, dan bermacam-macam lagi.

Manusia yang beruntung pula adalah mereka yang beriman dan beramal soleh serta selalu mengingatkan tentang kebenaran dan kesabaran.

Perkataan beriman itu didahulukan bermakna keimanan yang ada di dalam jiwa manusia itu merupakan satu medium penting untuk menjadi khalifah Allah yang sentiasa beruntung. Menjadi hamba Allah yang beruntung bukanlah mudah, kerana ada berbagai pancaroba yang akan menguji tahap keimanan kita seperti riya', takabbur, sombong, kikir, nafsu amarah, dan lain-lain.

Untuk mengekalkan keimanan sehari-hari, perlulah kepada mencari halawatul iman yakni kemanisan di dalam beribadat. Hal demikian bererti kita melakukan sesuatu ibadat itu berlandaskan cara yang terbaik, mantap, bersederhana, tawadhuk, merendah diri, dan redha.

Menggunakan konsep halawatul iman untuk mengekalkan tahap keimanan merupakan satu cara yang efektif. Bahkan kita akan berasa lebih berkeyakinan dan sentiasa berada di dalam perasaan tenang mengenang Allah dan rahsia alam.

Sebaiknya, kita mencari satu wadah untuk mendekatkan diri kepada Allah demi mengekalkan keimanan. Antaranya mencari guru yang mursyid yang dapat memandu kita ke arah keimanan yang sejati. Selain itu, terdapat bermacam aliran tareqat tasawuf di Tanah Melayu, Asia Tenggara, bahkan seluruh dunia, yang mana mampu untuk mendidik jiwa dan nafsu demi menjadi hamba Allah yang sejati.

-Keredhaan Allah jua matlamatku-

Krisis keyakinan terhadap Islam, Allah dan Rasullullah SAW

Assalamualaikum.

Alhamdullillah.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasullullah SAW, khulafa ar-rasyidin, para sahabat Nabi SAW, ahlul bait, wali-wali Allah, ulama-ulama, pemimpin-pemimpin, dan muslimin dan muslimat.

Baru-baru ini negara digemparkan dengan suatu kejadian di Pahang yang mana sebuah keluarga sebelas beranak didakwa hampir menjadi murtad.

Kejadian hampir murtad itu berlaku hanya disebabkan keluarga terbabit disisihkan oleh masyarakat setempat.

Inilah fenomena umat Islam yang kian rapuh dalam pengamalan ajaran Islam yang syumul.

Sewajarnya, sebagai penganut ajaran Islam dan pengikut Rasullullah SAW, adalah penting untuk kembali kepada asas prinsip Islam yang terdiri daripada Rukun Iman dan Rukun Islam. Selain itu, Rasullullah SAW telah bersabda yang bermaksud "Aku tinggalkan kepada pengikutku dua perkara yakni Al-Quran dan Sunnahku".

Jadi, pada hemat saya, fenomena hampir murtad ini berlaku adalah disebabkan tiada penghayatan yang mantap dan sempurna ke atas apa yang terkandung di dalam ajaran Islam.

Jikalau kehidupan kita kurang berada, sewajarnya kita bersyukur kerana dengan keadaan demikian Allah memberi rahmat yang tidak ternilai:
1. Kurang berada membolehkan kita beribadat dengan lebih khusyuk kerana tidak perlu memikirkan tentang harta yang perlu diuruskan.
2. Kurang berada membolehkan kita untuk hidu lebih bersederhana yakni sederhana dalam pemakanan, sederhana dalam perbelanjaan harian, sederhana dalam penampilan dan sederhana dalam menguruskan keluarga.
3. Kurang berada membolehkan kita untuk menambah amal ibadat sunat seperti puasa sunat.
4. Kurang berada menjadikan kita lebih menghargai nilai barang dan keupayaan diri kerana bukan mudah untuk membeli barang-barang yang semakin mahal sekarang dan tenaga yang banyak perlu dikerah untuk mendapat hasil atau wang.
5. Kurang berada membolehkan diri kita sentiasa bergantung kepada kuasa Allah yang Maha Esa kerana Allah jua yang memberi rezeki dan menarik rezeki.

JIkalau kita sedang menghadapi masalah, sebenarnya masalah itu adalah ujian Allah dan rahmat Allah juga:
1. Ujian yang Allah turunkan kepada kita adalah untuk menguji tahap keimanan kita.
2. Ujian Allah adalah kifarah kepada dosa-dosa yang lalu, yakni salah satu bentuk penyucian diri.
3. Ujian Allah adalah untuk membentuk jiwa yang tetap dalam mempercayai kuasa Allah dan ajaran yang dibawa oleh Rasullullah SAW.
4. Ujian Allah itu juga memupuk sifat kesabaran, minda yang tenang, dan menyemai benih keredhaan seperti mana firman Allah dalam surah al-Fajr "Wahai jiwa-jiwa yang tenang, pulanglah kepada Tuhanmu dalam keredhaanNya lagi diredhaiNya, maka masuklah ke dalam jemaah hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu".
5. Ujian Allah itu untuk memastikan kita sentiasa bersyukur walau dalam keadaan sihat ataupun sakit dan keadaan lemah ataupun kuat.

Berbalik kepada masalah hampir murtad, fenomena ini hanyalah sedikit yang dapat kita lihat dalam masyarakat sekarang, berkemungkinan besar keadaan yang lebih dashat sedang dan akan berlaku ke atas umat akhir zaman ini.

Nasihat kepada diri sendiri dan umat akhir zaman, ingatlah, tujuan penciptaan manusia ialah agar manusia itu menjadi khalifah Allah di atas muka bumi yakni menjadi hamba Allah yang sentiasa bertindak, bercakap, dan berfikir atas kesedaran kepada Maha Pencipta.Telah jelas dan terbukti di dalam Al-Quran dan kitab-kitab agama lain bahawa hanya Islam agama yang benar dan selamat dan Nabi Muhammad SAW pula merupakan Penghulu dan Penutup Segala Nabi; oleh itu, tidak seharusnya manusia lalai sehingga mahu mencari agama selain Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Moga kita semua sentiasa diberi hidayah dan nur yang suci daripada Allah.

Moga kita semua dimasukkan ke dalam golongan yang benar dan sentiasa mencintai Allah dan rasulNya.

Assalamualaikum.

Mencintai Allah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan pentingnya hubungan antara makhluk dengan Khaliqnya. Makhluk itu adalah hamba kepada Khaliqnya, manakala Khaliq pula adalah tuan kepada makhluk. Sebagai hamba, ia sepatutnya patuh dan taat kepada perintah tuannya iaitu Allah. Jika si hamba itu patut dan taat setia, nescaya Allah akan menyayangi dan memuliakannya.

Jelaslah Allah amat mencintai setiap hamba-Nya yang sentiasa patuh dan taat kepada segala perintah-Nya iaitu dengan mengerjakan semua amalan wajib, malah ditambah pula dengan bertaqarrub iaitu memperbanyak amalan dianjurkan syariat Islam. Orang mukmin sebegini amat dicintai Allah serta diangkatkan kedudukan mereka di sisi-Nya sehingga mereka sentiasa berada di bawah naungan dan pemeliharaan-Nya.

Sebenarnya dalam mendekatkan diri kepada Allah, seseorang itu hendaklah melakukannya secara berperingkat. Ia semestinya dimulai dengan mengerjakan amalan wajib iaitu fardu ain mahupun fardu kifayah kemudian barulah diikuti amalan sunat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada sesuatu taqarrub yang dikerjakan oleh hamba Allah terhadap Tuhannya, seperti apa yang keluar dari mulutnya (iaitu membaca al-Quran).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Selain membaca al-Quran, kita juga boleh bertaqarrub dengan berzikir kepada Allah. Ini bertepatan hadis diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal katanya, “Aku bertanya Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, beritahulah kepada aku amalan utama yang boleh mendekatkanku kepada Allah. Baginda menjawab: Hendaklah ketika engkau hendak mati, lisanmu lembut dengan zikrullah.” (Hadis riwayat al-Bazzar)

Memang zikrullah itu suatu amal sangat dituntut syariat Islam yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh Muslim sejati. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku (berzikir) supaya Aku mengingatimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Selain dua amalan di atas, kita juga boleh bertaqarrub kepada Allah dengan mengerjakan solat dan puasa sunat. Kedua-dua amalan ini sangat digemari orang salih kerana ia adalah tambahan kepada ibadat wajib.

Fana

"Setiap saat jantung berdegup, setiap masa hati mengenangMu"

"Hidupku dan matiku demiMu"

"Aku hanya denganMu"

"Hanya Dia yang kekal selamanya"

"Di mana kamu berpaling, di situ ada wajahNya"

"Hati bersinar dengan nurNya"

"Tiada daya upayaku melainkan dengan daya upayaNya"

"Matikan diri sebelum mati, lupakan perkara dunia, hadirkan hati kepadaNya, fanakan diri, ingatan hanya kepadaNya"

"Lalai dalam mengenangNya, hilanglah nurNya, hilanglah limpahan kurniaNya"

"Setiap detik aku mengenangMu, jikalau terlupa, ampunkan aku, pandu aku ke dalam mengenangMu"

"Tanpa kasih sayangMu, tiada kehidupan yang bermakna"

"Tanpa rahmatMu, tiada kebahagiaan"

"KepadaMu, aku bergantung"

"KepadaMu, aku bermohon"

"KepadaMu, aku bernaung"

"KepadaMu, aku menuju"

"KepadaMu, aku tenggelam"

"Keyakinanku hanya kepadaMu"

"KebenaranMu, aku yakini"

"KebenaranMu, dijunjungi dengan kesetianku"

"Engkaulah akhir tujuku"

"Tiada lain yang aku ingini, hanyalah fana mengenangMu"

"Engkaulah, Yang Maha Agung"

Rabu, 25 Mac 2009

Adakah undian pemilihan PEKEMBAR telus?

Tajuk kali ini berkisar kepada perhimpunan UMNO atau nama klasiknya PEKEMBAR yang sedang berlangsung di PWTC.

Nampaknya kuasa sekelompok orang Melayu telah ditentukan pada perhimpunan UMNO. Tapi adakah penentuan itu telus dan dijalankan secara saksama?

Sebagai parti yang membela nasib agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia, seharusnya UMNO perlu dibarisi dengan pemimpin-pemimpin yang berkelayakan.

Sebagai rakyat biasa dan orang muda, saya dan hampir kebanyakan orang mahu melihat kepimpinan yang Islamik, jujur, adil, berprinsip, beretika, bijaksana, dan tawadhuk.

Sememangnya, dalam dunia akhir zaman, adalah tidak mudah untuk memdapat corak kepimpinan yang sebaik-baiknya seperti yang ada pada zaman Rasullullah SAW, para sahabat, dan zaman kegemilangan Islam yang lampau.

Sebaik-baik ciri kepimpinan ialah kepimpinan Rasullullah SAW. Adakah corak kepimpinan yang dianjurkan oleh Rasullullah SAW terkandung di dalam struktur kepimpinan umat Islam yang ada sekarang?

Jawapan yang pasti ialah TIDAK.

Jadi adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membentuk kepimpinan yang telah dianjurkan oleh Rasullullah SAW. Bukannya mengikut seperti yang dibawa oleh Barat.

Sebaik-baiknya, PEKEMBAR atau UMNO perlu bersatu dengan PAS dan PKR. Pemilihan kepimpinan perlu berasaskan prinsip musyawarah; pemimpin yang dipilih atas dasar kebersamaan tanpa ada rasa benci dan hasad.

P/S: Jika pemimpin yang dipilih masih dalam kategori "perosak agama, bangsa, dan negara", pasti "sesuatu yang tidak mustahil" akan berlaku.

-Keredhaan Allah jua matlamat mukmin-